1. Saya mengucapkan terima kasih kepada Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, khususnya kepada Akademi PEMUDA UMNO, kerana sudi meminta saya menyampaikan ucapan tentang Legasi Tun Razak Kepada Pembangunan Negara. Saya menganggap ini adalah tajuk yang cukup penting kita hayati semula atau seperti kata orang Inggeris, kita ‘revisit’, terutama memandangkan bahawa sejak mutakhir ini nampaknya ‘model’ pembangunan negara yang diasaskan oleh dan melalui kepimpinan Tun Razak semakin cair, semakin luput, bahkan ada pihak yang menyeru supaya ‘model’ pembangunan Razak, misalnya Dasar Pelajaran Kebangsaan atau Dasar Ekonomi Baru, dihapuskan sahaja. Tetapi saya tidak nampak atau belum nampak ‘model’ lain yang lebih baik untuk negara pelbagai etnik ini bagi menggantikan ‘model’ pembangunan menurut visi Razak itu. Akibatnya, saya lihat sejak mutakhir ini masalah ‘kesengjangan’ (‘gap’) atau ketidakseimbangan kemakmuran ekonomi dan sosial tidak sahaja dalam kalangan orang Melayu tetapi lebih-lebih lagi antara bangsa Melayu dengan kaum-kaum lain makin ketara, dan isu-isu yang boleh menimbulkan ketegangan perkauman tentang ‘kontrak sosial’ yang telah dimaterikan dalam Perlembagaan, tentang agama, dan lain-lain lagi semakin lantang disuarakan secara terbuka. Orang mungkin melihat perkembangan ini sebagai tanda bahawa masyarakat kita ‘sudah lebih liberal, terbuka dan maju’, tetapi kita juga boleh melihatnya sebagai tanda bahawa kepentingan etnik atau kaum masih mengatasi kepentingan kebangsaan atau kepentingan negara.
2. Asas pembangunan negara menurut visi Razak ialah perpaduan negara atau national unity (konsep ini tidak sama dengan konsep ‘perpaduan bangsa atau kaum’ atau ‘ethnic unity’). Inilah ‘model’ pembangunan negara yang ditinggalkan oleh Razak kepada kita hari ini, sebagaimana akan saya bincangkan seterusnya nanti.
3. Sebelum itu, perlu kita jelaskan dahulu apakah yang dimaksudkan dengan pembangunan negara. Selepas Perang Dunia II, istilah ‘development’ atau ‘pembangunan’ digunakan oleh institusi-institusi Bretonwoods ciptaan Barat seperti Bank Dunia dan International Monetary Fund (IMF) untuk membezakan taraf ‘negara maju’ dengan ‘negara sedang membangun’. ‘Negara maju’ atau ‘developed nation’ menurut ukuran dan nilai Barat ialah negara yang memperlihatkan atau mengamalkan tiga prinsip atau sistem berikut:
Pertama, negara itu mengamalkan sistem ekonomi kapitalisme atau ekonomi pasaran (free market economy) untuk mencipta kekayaan dan menghasilkan produk perindustrian dan teknologi;
Kedua, negara itu mengamalkan sistem politik berdasarkan ideologi ‘demokrasi liberal’ yang antara lain memberi hak dan kebebasan kepada penduduknya untuk memilih kerajaan dan menggantikan kerajaan; dan
Ketiga, negara itu menghormati ‘hak dan kebebasan individu’, terutama dari segi hak dan kebebasan moral.
4. Berdasarkan tiga ukuran atau kriteria itulah (yang sebenarnya berdasarkan kepentingan bangsa mereka, tidak bangsa-bangsa lain), dunia Barat membahagikan negara dan penduduk dunia ini kepada tiga kategori:
Pertama ialah negara ‘Dunia Pertama’ (‘First World Nation’) yang terdiri daripada negara yang dianggap telah mencapai taraf kemajuan berdasarkan kriteria itu, hampir semuanya adalah negara Barat atau negara bekas kuasa penjajah Barat;
Kedua ialah Negara Dunia Kedua atau ‘Second World Nation’ yang terdiri daripada negara sosialis atau komunis di Eropah Timur yang dianggap tidak mengamalkan tiga prinsip yang tersebut di atas; dan
Ketiga ialah Negara Dunia Ketiga yang hampir semuanya terdiri daripada bekas tanah jajahan Barat. Negara Dunia Ketiga dianggap sebagai ‘negara baru’ yang ‘tidak maju’ atau
‘underdeveloped nation’, atau istilah lain yang lebih sedap didengar ialah, ‘negara sedang membangun’ (‘developing nation’).
5. Pembahagian itu saya anggap sebagai peraturan pasca penjajahan Barat atau sebagai ‘post-colonial order’ untuk mengekalkan kuasa Barat di dunia selepas mereka meninggalkan tanah jajahan dan kuasa mereka di Asia, di Afrika dan di Amerika Selatan. Mereka memaksa bangsa lain mengamalkan demokrasi tetapi di negara Islam apabila demokrasi itu dikuasai oleh parti atau kerajaan yang mereka anggap ‘fundamentalist muslims’ mereka akan menentang parti atau kerajaan itu, seperti yang pernah berlaku beberapa tahun dahulu terhadap ‘parti kebebasan Islam’ di Algeria yang hampir memenangi pilihan raya di sana. Mereka bercakap tentang hak manusia tetapi di negara mereka, orang ‘kulit hitam’ yang menjadi warga negara mereka sering tidak mendapat layanan ekonomi, sosial dan politik yang sama dengan penduduk kulit putih. Mereka bercakap tentang ‘free trade’ tetapi secara ketara atau secara tidak nyata mereka juga mengamalkan dasar ‘protectionanism’ di negara mereka, seperti yang akan saya jelaskan lagi nanti. Inilah yang dikatakan ‘double-standards’ Barat. Institusi Bretonwoods yang ditubuhkan oleh negara Barat (di Kanada) selepas Perang Dunia II mempunyai satu tujuan sahaja: iaitu untuk membantu dan membiayai rancangan pembinaan semula (‘reconstruction’) negara-negara Eropah yang musnah akibat Perang Dunia II yang dicetuskan di Eropah oleh orang Barat. Jikalau negara ‘Dunia Ketiga’ mahu mendapatkan bantuan ekonomi Barat (misalnya, melalui Bank Dunia atau International Monetary Fund), negara itu hendaklah memenuhi syarat-syarat yang ditentukan oleh negara pemberi berdasarkan ideologi dan nilai mereka. Negara yang tidak mengamalkan sistem ekonomi pasaran bebas dan sistem demokrasi liberal, bahkan negara yang dianggap tidak menghormati hak manusia (menurut nilai Barat), tidak akan diberikan bantuan itu. Bukan setakat itu sahaja, mereka malah akan mencampuri atau mengganggu hal-ehwal negara Dunia Ketiga itu.
6. Saya menyebut latar belakang tentang ideologi pembangunan Barat itu untuk menimbulkan dua hal yang sangat relevan dengan mauduk kita ini, iaitu tentang pembangunan negara selepas kemerdekaan. Pertama, apakah model-model pembangunan yang kita bina selepas kemerdekaan masih mengekalkan model dan sistem atau ideologi kolonial Barat, dan kedua, kemajuan negara tidak semestinya selaras dengan kemajuan bangsa. Dengan kata lain, sesuatu bangsa belum tentu maju walaupun negaranya ‘maju’ – maju secara fizikal dan materialistik atau maju menurut ukuran atau kriteria Barat seperti yang tersebut tadi. Malaysia, misalnya, boleh jadi ‘maju’ dan ‘kaya’ dari segi pembangunan ekonomi fizikalnya tetapi ini belum tentu bererti, penduduknya, manusianya, juga maju dari segi moral, pemikiran dan pandangan hidupnya. Belum tentu pula satu-satu kaum di negeri ini sama-sama maju dengan kaum yang lain dari segi kedudukan ekonomi dan sosialnya. Hari ini orang sering bertanya: setelah sekian lama kita merdeka, dapatkah kita berkata bahawa bangsa Melayu telah mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang, terutama dalam bidang ekonomi, yang setaraf atau seimbang dengan kemajuan kaum lain? Jawapannya: Tidak! Ini tidak bererti bahawa kedudukan orang Melayu dalam bidang pendidikan dan ekonomi, misalnya, tidak bertambah baik berbanding dengan keadaan mereka sebelum merdeka. Yang penting ialah, kita fikirkan apakah sebab wujudnya perbezaan itu. Dalam hal ini kita perlu lebih rasional dan melihat puncanya secara sistemik, yakni, apakah sistem yang diwujudkan selepas merdeka masih mengekalkan peraturan kolonial atau apakah sistem itu adil kepada bangsa Melayu atau kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, dan kalau sistem itu adil apakah ia dilaksanakan dengan cekap dan adil juga.
7. Di negara seperti Malaysia yang penduduknya terdiri daripada pelbagai golongan etnik, sistem yang tidak adil antara kaum sering menimbulkan masalah perpaduan etnik. Kita sudah melihat tandanya yang dahsyat apabila tercetus Peristiwa 13 Mei yang malang itu.
KONSEP PEMBANGUNAN NEGARA
8. Jadi, bagi kita, pembangunan negara tidak sahaja bererti memajukan negara secara fizikal tetapi lebih penting lagi ‘membangunkan semula’ pemikiran dan minda bangsa dan keadaan sosial, budaya dan moral mereka setelah dijajah oleh bangsa lain. Salah satu usaha yang mesti dan terpaksa kita lakukan dalam proses pembangunan semula bangsa kita ini ialah, membetulkan kesalahan dan kerosakan yang telah dilakukan oleh penjajah British (Inggeris) terhadap negeri ini, terhadap bangsa Melayu dan terhadap perpaduan kaum. Kita tidak menafikan adanya beberapa kebaikan model pentadbiran British di Tanah Melayu tetapi kesalahan politik dan kepentingan strategiknya juga banyak, dan ini termasuk kesalahan membuka pintu Tanah Melayu seluas-luasnya kepada orang asing, khususnya dari negeri Cina dan India, untuk bekerja di Tanah Melayu demi kepentingan ekonomi British sehingga akhirnya timbul masalah demografi dan etnik yang cukup kompleks dan sukar di Tanah Melayu menjelang kemerdekaan. Dua kesalahan besar lain yang boleh dan mesti kita betulkan ialah: (a) Kesalahan British membiarkan orang Melayu, penduduk asal negeri ini, tidak maju dalam bidang ekonomi dan pendidikan – mereka tidak menggalakkan orang Melayu mengambil bahagian secara aktif dalam kegiatan ekonomi pasaran, dan mereka tidak membenarkan orang Melayu mencapai kemajuan dalam bidang pendidikan dalam bahasanya sendiri, iaitu bahasa Melayu; dan (b) Kesalahan British memecahkan penduduk berbilang kaum di Tanah Melayu melalui sistem atau dasar yang berbeza-beza. Misalnya, pada zaman itu, sistem pendidikan dipecahkan kepada empat institusi atau aliran yang berbeza: ada sekolah Melayu, ada sekolah Inggeris, ada sekolah Cina dan ada sekolah Tamil. Kesemua jenis sekolah ini tidak sahaja menggunakan empat bahasa pengantar yang berlainan, tetapi juga menggunakan sukatan pelajaran yang berlainan, buku teks yang berlainan dan guru yang tidak dididik atau dilatih melalui sistem latihan guru yang ‘sentral’. Guru sekolah Cina dan guru sekolah Tamil diimport dari negeri Cina dan India. Penduduk tanah Melayu seolah-olah dibiarkan hidup berasingan dalam ‘kawasan selesa’ atau ‘comfort zone’ etnik masing-masing. Tidak ada titik pertemuan antara orang Melayu dengan kaum-kaum etnik lain melalui dasar-dasar kebangsaan (kerajaan) yang bercorak bebas etnik.
9. Itulah dua matlamat penting pembangunan negara Malaysia selepas kemerdekaan, iaitu untuk membina masyarakat dan negara-bangsa yang maju secara ‘holistik’ dan bersepadu berdasarkan dasar-dasar atau sistem kebangsaan yang adil kepada semua penduduk. Bagi kita, perpaduan kebangsaan atau ‘national unity/solidarity’ merupakan faktor penting dalam proses pembangunan negara. Perpaduan kebangsaan atau negara, dari segi implikasi sosiopolitiknya, tidak sama dengan perpaduan etnik atau perpaduan antara kaum yang lebih melibatkan masalah sosiobudaya yang sukar ‘disepadukan’. Perpaduan kebangsaan ialah perpaduan yang merentas sempadan dan kepentingan etnik. Yang menjadi fokus atau matlamatnya ialah, kepentingan negara atau kepentingan kebangsaan, bukan kepentingan kaum atau etnik. Matlamat inilah yang tidak ada sebelum merdeka.
KEKUATAN BANGSA MELAYU DALAM SEJARAHNYA
10. Tidak kurang penting ialah, pembangunan negara atau bangsa harus berlaku dan dilakukan dalam konteks tertentu, dan konteks paling penting ialah sejarah bangsa kita. Antara lain ini bererti kita mesti mengetahui apakah kekuatan yang sudah lama ada pada bangsa Melayu di rantau ini – rantau besar yang disebut oleh orang Barat sebagai The Malay Archipelago, dan menggunakan kekuatan itu sebagai asas pembangunan semula bangsa dan negara kita selepas kemerdekaan. Stamford Raffles menggunakan istilah the Malay nation, tidak ‘the Malay tribes’, apabila dia bercakap tentang tamadun Melayu. Apabila kita mencapai kemerdekaan dalam tahun 1957, kita bukan merupakan bangsa baru; negeri kita bukan negeri atau negara baru, atau ‘a new nation’ yang baru lahir setelah kita mencapai kemerdekaan. Kita sebenarnya sudah mempunyai negeri atau negara dan kerajaan sejak abad ke-13 lagi, dan sepanjang kehadiran dan penjajahan kuasa-kuasa Barat (Portugis, Inggeris dan Belanda) di kawasan kita, baik di Tanah Melayu, mahupun di kawasan yang sekarang disebut Indonesia, negeri-negeri Melayu di Tanah Melayu tidak hapus, tidak hilang, tetapi kekal sampai sekarang.
11. Tahukah saudara, kekuatan apakah yang ada pada bangsa Melayu sehingga tiga kuasa Barat itu tidak berjaya memusnahkan negeri-negeri Melayu itu dan memecahkan bangsa Melayu menjadi suku-suku kaum atau ‘tribes’ yang tidak bernegeri seperti yang berlaku pada penduduk pribumi di Amerika, di Australia dan di New Zealand? Kekuatan yang ada pada bangsa Melayu sepanjang sejarahnya ialah perpaduan dan ini timbul daripada adanya kesedaran di kalangan orang Melayu, di mana pun mereka berada, bahawa mereka adalah anggota dalam satu kesatuan sosiobudaya dan sosiopolitik yang disebut bangsa Melayu atau the Malay nation, kata Raffles. Empat faktor yang membentuk perpaduan Melayu itu dan yang berjaya mengekalkan identiti bangsa Melayu sepanjang sejarahnya ialah: bahasa Melayu, budaya Melayu, Islam dan keterbukaan minda bangsa Melayu. Kita tahu bahawa di rantau kita ini terdapat banyak sekali dialek bahasa Melayu – dialek negeri dan dialek daerah – tetapi di atas segala dialek ini telah muncul satu ragam bahasa Melayu yang kita sebut bahasa persuratan atau sekarang kita sebut bahasa Melayu kebangsaan. Bahasa inilah yang menyatukan bangsa Melayu, tidak kira di manakah mereka berada, sama ada di Kelantan, di Kedah, di Johor atau di Negeri Sembilan. Bahasa Melayu kebangsaan inilah yang menjadi bahasa kerajaan Melayu sejak zaman kerajaan Melayu-Islam yang pertama abad ke-12/13, iaitu kerajaan Samudera-Pasai di daerah Aceh sekarang, sampai ke zaman pemerintahan Inggeris di Tanah Melayu; waktu itu bahasa Melayu tetap kekal sebagai bahasa kerajaan Melayu di samping bahasa Inggeris.
12. Faktor lain yang cukup penting dan berpengaruh sebagai pembentuk tamadun dan perpaduan bangsa Melayu sepanjang sejarahnya ialah agama Islam. Kita bernasib baik kerana Islam yang diterima dan diamalkan oleh orang Melayu ialah Islam menurut Sunnah Nabi. Orang Melayu tidak dipecahkan oleh pelbagai mazhab, khususnya antara mazhab sunni dan ‘mazhab Syiah’, atau mazhab-mazhab lain seperti yang terdapat di beberapa negara Arab, misalnya di Lubnan, di Iraq, di Iran, bahkan juga di Pakistan yang menyebabkan negara-negara itu sentiasa menghadapi masalah berpecahan antara kaum berdasarkan mazhab; mereka berperang dan berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Akibatnya, pembangunan negara mereka terjejas. Kemajuan mereka dalam bidang apa pun terjejas. Negara mereka menjadi lemah dan mudah dijajah oleh kuasa luar. Bangsa Melayu tidak mengalami masalah ini sepanjang sejarahnya. Walaupun mereka pernah dijajah namun perpaduan mereka, ‘solidarity’ mereka, tidak pecah – pepatah Melayu berkata, ‘bercerai roboh bersatu teguh’ – inilah semangat kebangsaan Melayu yang menyebabkan mereka dapat bersatu dalam satu gerakan kebangsaan di seluruh Tanah Melayu untuk menentang gagasan atau muslihat Malayan Union dalam tahun 1946.
13. Orang Melayu juga terkenal sebagai bangsa yang berminda terbuka dan kreatif. Mereka sangat toleran terhadap kaum-kaum lain yang datang dari kawasan di luar ‘Dunia Melayu’ ini. Ini merupakan ciri penting budaya Melayu. Pengalaman Melayu dalam sejarahnya bertembung dan berinteraksi secara kreatif, tidak secara pasif sahaja dengan tamadun luar dari India, dari dunia Arab-Islam, dari kawasan-kawasan di luar Tanah Melayu dan akhirnya dari Barat, membuktikan hakikat ini.
14. Itulah kekuatan yang ada pada bangsa Melayu dalam sejarahnya, iaitu perpaduan. Mereka bersatu melalui bahasa dan budaya yang sama dan melalui agama Islam. Kerana inilah orang Melayu, seperti yang saya sebutkan tadi, berjaya membentuk diri mereka sebagai suatu bangsa atau nation, dan tidak berpecah kepada suku-suku kaum atau tribes yang mudah dipinggirkan sehingga akhirnya identiti mereka akan mudah dimusnahkan oleh kuasa-kuasa luar. Dato Onn Jaafar membangkitkan semangat Melayu seluruh Semenanjung, termasuk Singapura, berdasarkan seruan Alif, Ba, Ta. Alif bererti Agama Islam, ba bererti Budaya dan Bahasa Melayu, dan ta bererti Tanah Air Melayu. Inilah tiga alat yang ada pada bangsa untuk menentang gagasan dan muslihat Malayan Union.
15. Jadi, bagi saya usaha untuk membetulkan kesalahan dan kerosakan yang telah dilakukan oleh penjajah Inggeris di Tanah Melayu terhadap minda bangsa Melayu dan terhadap keadaan ekonomi, pendidikan, sosial dan politik atau kuasa mereka di Tanah Air mereka sendiri dan usaha untuk membina perpaduan kebangsaan sebagai asas kemajuan negara tidak akan berkesan jikalau usaha itu tidak didasarkan atas kekuatan bangsa Melayu yang telah ada pada mereka sejak dahulu. Pembangunan bangsa Melayu selepas merdeka tidak berguna kepada bangsa Melayu dan kepada negara jikalau pembangunan itu tidak dapat mengekalkan perpaduan Melayu atau jika pembangunan itu boleh membawa kepada perpecahan kaum Melayu.
LEGASI RAZAK
16. Itulah ‘mukadimah’ panjang yang saya rasa perlu saya buat dan perlu diketahui untuk membolehkan kita memahami konteks sejarah, warisan bangsa dan rujukan yang digunakan, secara sedar atau tidak, oleh Razak dan para pendukungnya untuk membentuk visi atau wawasannya tentang konsep dan model pembangunan bangsa dan negara selepas merdeka. Visi Razak terhadap pembangunan negara adalah visi yang diasaskan atas konsep perpaduan kebangsaan. Perpaduan kebangsaan ini harus dibina secara institusional, yakni berdasarkan sistem atau dasar-dasar kebangsaan yang adil kepada semua kaum untuk kepentingan negara, bukan untuk kepentingan mana-mana kaum secara ‘private’. Pengaruh dan kesan visi Razak ini masih kekal sampai sekarang. Nama Razak dikaitkan dengan beberapa dasar pembangunan negara sampai hari ini. Apabila kita menyebut Dasar Pelajaran Kebangsaan yang ada sekarang dan Dasar Ekonomi Baru (DEB), nama Razak akan disebut-sebut. Bahkan bagi orang yang masih mengetahui sumbangan Razak yang lebih luas, apabila kita menyebut tentang Dasar Kebudayaan Kebangsaan, dasar pembangunan luar bandar dan pembangunan bandaran atau ‘urban development’, nama beliau juga sering diingati atau disebut-sebut. Parti Barisan Nasional yang ada sekarang ialah hasil visi perpaduan politik kebangsaan Razak. Pada zaman beliau perang mulut dan konfrontasi politik antara parti orang Melayu-Islam agak dingin, tidak sentiasa panas dan bergelora seperti hari ini, kerana Razak membawa masuk PAS ke dalam Barisan Nasional. Mengapa? Sebabnya ialah, beliau mahu mengukuhkan perpaduan bangsa Melayu sebagai asas perpaduan kebangsaan atau perpaduan negara.
17. Saya akan menumpukan perhatian kepada dua dasar kebangsaan sahaja yang dibentuk selepas kemerdekaan, iaitu Dasar Pelajaran Kebangsaan dan Dasar Ekonomi Baru (DEB), untuk melihat bagaimanakah visi Razak untuk membangunkan bangsa dan negara berdasarkan paksi perpaduan kebangsaan itu dilakukan. [Catatan: dalam suatu ceramah saya bertajuk Pemikiran Dan Visi Tun Razak Dalam Pembinaan Negara-Bangsa Malaysia Merentas Sempadan Etnik anjuran Persekutuan Badan Pendidikan Dan Pembangunan Melayu, di Universiti Malaya pada 30 Mac yang lalu, saya telah menyentuh visi Razak terhadap pembangunan kebudayaan kebangsaan, pembangunan luar bandar dan pembangunan bandaran atau urban development. Teks ucapan itu ada diedarkan kepada Akademi Pemuda UMNO. Sudilah membacanya].
DASAR PELAJARAN KEBANGSAAN
18. Eksperimen pertama ke arah matlamat membina negara berdasarkan perpaduan kebangsaan dilakukan oleh Razak melalui sistem atau institusi pelajaran kebangsaan untuk menggantikan sistem pelajaran perpecahan kaum zaman British. Dalam tahun 1955 semasa Tun Razak menjadi Menteri Pelajaran di bawah kerajaan pemerintahan sendiri (‘self-governing government’) yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebagai Ketua Menteri, beliau telah dilantik oleh Tunku untuk mempengerusikan sebuah jawatankuasa untuk mengkaji sistem pelajaran yang ada di Persekutuan Tanah Melayu dan menyampaikan laporan dan perakuannya kepada kerajaan untuk ditimbangkan. Jawatankuasa pelbagai kaum itu dikenali sebagai Jawatankuasa Pelajaran Razak. Jawatankuasa ini mengemukakan dua formula perpaduan kebangsaan untuk dicapai melalui sistem pelajaran, iaitu:
(a) semua sekolah di Persekutuan Tanah Melayu (Malaysia), tidak kira apakah aliran bahasa pengantarnya, hendaklah menggunakan satu sukatan pelajaran atau satu ‘common-content syallabus’ sahaja, dan
(b) bahasa kebangsaan (iaitu bahasa Melayu) hendaklah digunakan sebagai bahasa pengantar utama di sekolah kebangsaan.
Sekolah Melayu sebelum merdeka diubah tarafnya menjadi Sekolah Kebangsaan. Di sekolah inilah bahasa kebangsaan dijadikan bahasa pengantar utama. Sekolah yang menggunakan bahasa Inggeris, bahasa Cina dan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar diberi nama Sekolah Jenis-Kebangsaan. Tetapi di sekolah jenis-kebangsaan ini, bahasa kebangsaan diajarkan sebagai mata pelajaran wajib.
19. Dalam tahun 1969/70, setelah berlaku Peristiwa 13 Mei, kerajaan di bawah Pentadbiran Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang diketuai oleh Tun Razak sebagai Pengarahnya, telah mengambil beberapa tindakan dan menggubal beberapa dasar untuk mengukuhkan lagi asas perpaduan kebangsaan. Sekolah Jenis-Kebangsaan aliran bahasa Inggeris diubah tarafnya kepada Sekolah Kebangsaan. Ini bererti semua sekolah aliran bahasa Inggeris (warisan zaman British) mulai menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utamanya, dari sekolah rendah hinggalah ke peringkat Tingkatan VI (STPM). Sebenarnya perubahan taraf ini, pada beberapa mata pelajaran, sudah dimulai sebelum tahun 1970. Perubahan taraf ini dilakukan berdasarkan peruntukan Akta Pelajaran 1961 yang membenarkan kerajaan mengambil tindakan atau keputusan itu.
20. Sebelum saya menyentuh rasionale di sebalik dasar pelajaran kebangsaan wawasan Razak ini, elok kita lihat dahulu apakah visi Razak terhadap pembangunan ekonomi negara.
DASAR EKONOMI BARU
21. Sebelum kemerdekaan dasar ekonomi yang diamalkan di negeri ini ialah dasar yang tidak membawa kepada keadilan ekonomi dan sosial antara kaum dan kepada perpaduan kebangsaan; sebaliknya dasar itu memecah-mecahkan rakyat berdasarkan kegiatan ekonomi yang berbeza-beza menurut kaum. Orang Melayu dibiarkan hidup di kawasan tidak maju atau yang tidak dimajukan, iaitu di kampung atau di luar bandar; mereka dibiarkan menjadi petani dan pekebun kecil, dan tidak digalakkan mengambil bahagian dalam kegiatan ekonomi pasaran, untuk menjadi pedagang, pekedai, pelombong bijih dan sebagainya, padahal bangsa Melayu terkenal sebagai bangsa pelaut atau pedagang sejak zaman kerajaan Melayu Melaka dalam abad ke-15 dan ke-16. Kaum Cina digalakkan menjadi peniaga, pedagang, pekedai, mengusahakan lombong bijih dan sebagainya. Kaum India kebanyakannya bekerja di ladang getah, dan sebagai buruh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kereta api, dan sebahagian daripada kaum mereka digalakkan bekerja dalam bidang profesional dan teknikal perkhidmatan kerajaan, manakala orang Melayu kebanyakannya bekerja dalam sektor pentadbiran am kerajaan, sebagai kerani, sebagai pegawai tadbir (untuk membantu British mentadbirkan Tanah Melayu), dan sebagai pekerja rendah (peon, drebar, dan lain-lain).
22. Keadaan itu tidak banyak berubah hinggalah tercetusnya Peristiwa 13 Mei. Atas desakan keadaan – tidak dengan pilihannya sendiri – Razak sekali lagi muncul sebagai penyelamat bangsa dan negara. Dia dilantik sebagai Pengarah Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) untuk mentadbirkan negara di luar sistem demokrasi. Dia menggunakan kesempatan itu untuk meneruskan visinya untuk membina dan memperkukuh perpaduan kebangsaan sebagai asas pembangunan bangsa dan negara pelbagai kaum. Kali ini dia membina perpaduan kebangsaan itu melalui suatu sistem atau model pembangunan ekonomi yang dianggap adil kepada semua kaum; dia tidak mahu ekonomi pasaran atau ekonomi kapitalisme menjadi punca perpecahan kaum. Dia memilih suatu model atau sistem ‘ekonomi campuran’ atau ‘mixed-economic system’, iaitu sistem ekonomi yang tidak terlalu diserahkan kepada kuasa-kuasa pasaran yang selalunya bersifat manipulatif atau eksploitatif dan monopolistik jika tidak dikawal oleh kerajaan, atau dengan kata lain, dia mahu sistem itu diimbangi dengan intervensi ‘corrective’ kerajaan (saya tidak suka menggunakan istilah ‘campur tangan’ yang bermaksud ‘interference’ dalam bahasa Inggeris) untuk merapatkan jurang perbezaan kekayaan ekonomi antara orang Melayu, penduduk majoriti Tanah Melayu, dengan kaum-kaum lain.
23. Matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) itu, sebagaimana kita tahu, ialah:
(a) untuk menyusun semula struktur ekonomi negara sehingga orang Melayu akan memperoleh sekurang-kurangnya 30% daripada kekayaan ekonomi negara, dan
(b) untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum. Matlamat (a) hendaklah dicapai dalam tempoh 20 tahun dari tahun 1970 hingga tahun 1990. Dasar ini telah dibincangkan dan diterima oleh Majlis Perunding Negara (National Consultative Council) yang anggotanya terdiri daripada pelbagai kaum.
APAKAH RASIONALE DASAR KEBANGSAAN ALA-RAZAK ITU
24. Sekarang mari kita lihat apakah rasionale atau visi di sebalik kedua-dua dasar kebangsaan wawasan Razak itu. Kita berkata bahawa dasar ini ialah dasar kebangsaan negara. Perkataan ‘kebangsaan’ baru digunakan untuk mentakrifkan dasar kerajaan selepas kemerdekaan. Sebelum itu, perkataan ini digunakan oleh orang Melayu untuk merujuk kepada semangat kebangsaan atau nasionalisme Melayu untuk bersatu menentang kuasa luar, terutama kuasa penjajah, yang mengancam jati diri atau identiti dan kedaulatan bangsa Melayu di Tanah Airnya sendiri. Selepas kemerdekaan, istilah kebangsaan tidak lagi dikaitkan dengan semangat nasionalisme Melayu sahaja, tetapi digunakan sebagai istilah yang berkaitan dengan kepentingan dan perpaduan negara. Kepentingan negara bererti kepentingan yang tidak berdasarkan kepentingan mana-mana bangsa, kaum atau kumpulan etnik. Sebagai contoh, apabila bahasa Melayu diisytiharkan dalam Perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu atau kemudiannya Malaysia, itu bererti bahasa Melayu sudah berubah tarafnya atau fungsinya sebagai ‘bahasa kebangsaan BANGSA Melayu’ kepada bahasa kebangsaan NEGARA Malaysia. Dari segi implikasi sosiopolitik dan legalistiknya dalam proses pembinaan negara-bangsa, perubahan ini sangat signifikan. Peranan atau fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara merentas sempadan dan kepentingan etnik; fungsinya ialah sebagai alat pembangunan negara, bukan semata-mata sebagai alat pembangunan dan kepentingan bangsa Melayu sahaja. Fungsinya juga tidak hanya bersifat simbolik atau sebagai ‘alat perpaduan kaum’ sahaja tetapi bersifat instrumental, atau functional, pragmatik dan developmental.
25. Pada mulanya orang bukan Melayu mencurigai ‘agenda’ atau tujuan Dasar Pelajaran Kebangsaan wawasan Razak itu, walaupun dasar itu diputuskan melalui muafakat antara semua kaum yang duduk dalam Jawatankuasa Pelajaran Razak (1955/56). Mereka menganggap dasar itu sebagai dasar Melayu atau dasar untuk menguntungkan bangsa Melayu sahaja. Mereka sebenarnya berfikir berdasarkan sentimen dan kepentingan etniknya sendiri, tidak berdasarkan kepentingan negara, atau mereka menganggap dasar yang lama lebih baik untuk pembangunan negara pelbagai etnik selepas merdeka. Bagaimanapun, akhirnya mereka menyedari bahawa sangkaan itu tidak benar. Tidak ada apa-apa agenda sulit di sebalik dasar itu. Itu bukan dasar pelajaran Melayu, tetapi ialah dasar pelajaran kebangsaan negara untuk kepentingan semua rakyat, tidak kira keturunan etnik. Buktinya ialah, statistik sejak akhir tahun 1980-an menunjukkan bahawa bilangan pelajar bukan Melayu yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan yang mendapat Ijazah Kelas Pertama di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) lebih 70% adalah pelajar bukan Melayu. Itu salah satu buktinya. Rata-rata pelajar bukan Melayu lebih cekap bahasa Melayunya daripada pelajar Melayu. Pemimpin dari Parti MCA dan Gerakan kebanyakan lebih fasih berkomunikasi formal dalam bahasa Melayu (tidak dalam ‘bahasa Melayu pasar’ atau ‘bahasa Melayu rojak’). Hal ini semua menunjukkan bahawa dasar pelajaran kebangsaan itu tidak bertujuan untuk merugikan orang bukan Melayu.
26. Dua lagi ‘kebaikan’ dasar pelajaran kebangsaan ala-visi Razak ini ialah: (a) dasar ini tidak menghapuskan bahasa Inggeris sama sekali dalam sistem baru itu tetapi malah menjadikan bahasa ‘bekas penjajah’ ini sebagai mata pelajaran wajib di semua sekolah, termasuk sekolah kebangsaan. Sebelum merdeka, bahasa Inggeris tidak diajarkan di Sekolah Melayu. Jadi, kalau orang bukan Melayu dan ‘orang Melayu baru’ hari ini berkata bahawa dasar pelajaran kebangsaan itu ialah hasil ‘perjuangan nasionalis fanatik bahasa Melayu’, ini tuduhan yang karut. Para nasionalis Melayulah – termasuk guru-guru Melayu pada waktu itu - yang bersetuju supaya bahasa Inggeris dijadikan bahasa kedua yang wajib di sekolah. Mereka tidak menolak bahasa Inggeris. (b) sekolah Cina dan sekolah Tamil dikekalkan, tidak dihapuskan. Yang dihapuskan ialah ‘Sekolah Melayu’, digantikan dengan sekolah kebangsaan untuk semua kaum, bukan untuk bangsa Melayu sahaja. Dari segi ini nampaknya orang Melayu lebih banyak berkorban atau bertolak ansur berbanding dengan kaum-kaum lain. Sehubungan ini, elok saya ingatkan
bahawa di Singapura, negara majoriti penduduk Cina, tidak ada sekolah Cina rasmi kerajaan. Kaum Cina dan India di Malaysia patut berterima kasih kepada Razak.
27. Jadi, itulah asas atau kriteria yang digunakan oleh Razak untuk membentuk dasar pelajaran kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai alat pengantar utamanya. Dan itulah dasar atau model yang diluluskan oleh Parlimen, dan dari segi perundangan atau legislature dasar ini pada prinsipnya tidak berubah sampai sekarang. Yang berubah ialah, beberapa keputusan pentadbiran (keputusan eksekutif) kerajaan di peringkat pelaksanaan yang melemahkan dasar asal Razak.
28. Sekarang, saya kemukakan soalan ini kepada saudara sekalian: apakah ada sistem atau dasar pelajaran kebangsaan yang lebih baik daripada itu? Adakah selama ini dasar pelajaran kebangsaan itu telah memundurkan bangsa Melayu dan menjadikan negara ini negara Dunia Ketiga, mundur, miskin, tidak maju disebabkan dasar pelajaran itu menggantikan bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utamanya di sekolah kebangsaan? Ketahuilah, sepanjang pemerintahan British di Tanah Melayu, tidak ada seorang pun orang Melayu yang menjadi sarjana, profesor, ahli sains, ahli matematik, pakar perubatan dan pakar dalam bidang-bidang lain yang terdidik dalam bahasa Melayu. Tiga puluh tahun selepas dasar kebangsaan ini dilaksanakan, kita berjaya menghasilkan ribuan pakar, sarjana, profesor dan ahli profesional dalam pelbagai bidang ilmu, baik orang Melayu mahupun bukan Melayu, yang terdidik dalam bahasa Melayu, dan tidak kurang ada daripada mereka yang bertaraf antarabangsa. Terima kasih kepada Razak dan kepada orang-orang yang mendukung wawasannya.
RASIONALE DI SEBALIK DASAR EKONOMI BARU (DEB)
29. Sekarang mari kita lihat apakah rasionale di sebalik Dasar Ekonomi Baru.. Mengapakah Dasar Ekonomi Baru digubal? Apakah dasar ini betul atau salah dari segi implikasinya terhadap pembangunan ekonomi negara? Orang bukan Melayu dari dahulu hingga sekarang tidak bersetuju dengan dasar ini. Sebabnya tidak jelas kecuali sebab emosi dan bersifat etnik. Mereka menganggapnya sebagai agenda Melayu, sebagai dasar diskriminasi terhadap orang bukan Melayu dan sebagai dasar yang bertentangan dengan peraturan ekonomi kapitalisme atau ekonomi pasaran. Bahkan sekarang ada juga beberapa orang Melayu yang berkata bahawa Dasar Ekonomi Baru hendaklah dihapuskan dan orang Melayu tidak perlu dibantu lagi. Biar mereka membina daya saing dan bekerja kuat dengan usaha sendiri. Semua sangkaan dan perasaan ini dapat kita tangkis dengan mudah, dengan syarat orang mahu mendengar kebenaran dan bersikap rasional, tidak emosional atau ortodoks.
30. Pertama, Dasar Ekonomi Baru bukan agenda Melayu dan bukan merupakan ‘pakej ekonomi’ semata-mata tetapi lebih merupakan suatu bentuk ‘socio-economic reconstruction’ atau pembinaan semula keadaan sosio-ekonomi’ negara dengan matlamat yang lebih besar daripada setakat untuk menyelesaikan masalah ekonomi Melayu sahaja. Ia bertujuan untuk melakukan ‘koreksi’ (kata orang Indonesia) pada struktur masyarakat yang ditinggalkan oleh zaman sebelum merdeka dan menjadikan dasar yang baru itu sebagai suatu sistem keadilan ekonomi dan sosial merentas kepentingan ‘private’ dan etnik. Matlamat Dasar Ekonomi Baru itu akan dicapai tidak dengan cara merampas hak yang ada pada kaum-kaum lain dan memberikannya kepada orang Melayu. Ini cara Robin Hood, dan Dasar Ekonomi Baru bukan dasar ekonomi Robin Hood. Cara Dasar Ekonomi Baru ialah dengan memperluaskan saiz ekonomi negara melalui pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat supaya dengan demikian ‘economic cake’ negara akan bertambah besar untuk membolehkan kaum Melayu mendapat bahagian 30% atau lebih itu tanpa secara eksponennya (‘exponentially’) mengurangkan kadar syer ekonomi kaum-kaum lain yang telah dan sedang mereka nikmati sejak sebelum dan dalam tempoh Dasar Ekonomi Baru.
31. Ada orang yang berkata bahawa Dasar Ekonomi Baru melanggar peraturan ekonomi pasaran atau ekonomi kapitalisme. Ini pandangan ortodoks ‘ilmu’ ekonomi pasaran yang realitinya tidak lagi dapat diterima begitu sahaja pada zaman post-colonisation atau ‘post-colonial Barat’ ini. Mereka seolah-olah percaya bahawa sistem ekonomi kapitalisme atau ekonomi pasaran itu keramat, boleh menyelesaikan segala masalah manusia, seolah-olah datangnya dari Wahyu Allah. Kalau orang secara taksub percaya bahawa ekonomi kapitalisme atau ekonomi pasaran boleh menyelesaikan segala masalah ekonomi dan sosial manusia, sepatutnya di Amerika tidak adalah kemiskinan, tidak ada masalah sosial, moral, jenayah, alkoholisme, dan budaya hedonisme yang merosakkan moral manusia. Di Amerika dianggarkan terdapat sejumlah kira-kira 30 juta penduduk yang dikatakan ‘hard-core poor’. Saya menganggap ini semua adalah hasil kapitalisme yang tidak dikawal, atau hasil pembangunan kapitalistik yang tidak adil, yang tidak dikawal dan imbangi dengan rancangan ‘social reconstruction’ dan tindakan ‘corrective intervention’ seperti yang cuba dilakukan melalui Dasar Ekonomi Baru. Kita akan mengalami masalah sosial dan etnik yang lebih serius sekiranya dasar pembangunan negara tidak berani membetulkan kejahatan atau kelemahan yang tersirat dalam sistem ekonomi pasaran. Kita tidak boleh menyerahkan nasib bangsa kita ditentukan semata-mata oleh kuasa pasaran bebas yang sebenarnya tidak bebas tetapi bersifat monopolistik dan eksploitatif.
32. Hari ini orang makin menyedari bahawa ekonomi pasaran bebas sebenarnya tidak bebas tetapi dikawal atau ditentukan menurut peraturan bangsa atau negara kapitalis dunia, misalnya melalui Pertubuhan Dagang Dunia (WTO). Amerika, pembuat fatwa peraturan dagang bebas yang ulung di dunia, sering mengarahkan negara-negara sedang membangun supaya jangan mengawal ekonomi dalam negeri mereka, atau supaya membebaskan ekonomi mereka daripada segala bentuk peraturan dan kawalan kerajaan. Ini mereka sebut peraturan ‘deregulation’. Sebarang bentuk subsidi kepada ekonomi dalam negeri, terutama sektor pertanian, hendaklah dihentikan.
33. Saya menganggap itu adalah ‘muslihat’ atau ‘fatwa penipuan’. Amerika tidak selalu mematuhi ‘fatwa’ ini; Amerikalah negara (selain beberapa buah negara Eropah) yang paling banyak membantu atau memberi subsidi kepada perusahaan agro atau perusahaan pertaniannya. Peraturan ini semata-mata bertujuan untuk membolehkan mereka menguasai pasaran dunia, untuk mengeksport produk pertanian mereka dengan harga yang jauh lebih rendah daripada produk pertanian negara sedang membangun. Ini mereka sebut ‘trade competition’ – persaingan perdagangan, konon! Akibatnya, sebagai contoh, perusahaan gula Mexico bankrap atau hampir bankrap kerana harga gula Amerika yang dieksport ke negara itu jauh lebih murah daripada harga gula keluaran domestik Mexico. Ini satu contoh sahaja.
34. Peraturan yang manipulatif dan monopolistik seperti itulah yang membawa kepada penjajahan baru atau neokolonialisme di seluruh dunia melalui proses yang lebih global, iaitu proses globalisasi. Pasaran dagang antarabangsa dan juga dagang domestik menjadi semacam ‘rimba Darwin’ atau the law of the jungle dengan peraturan ‘survival of the fittestnya’: di dalamnya haiwan yang kuat dan buas membaham haiwan yang lemah. Bayangkan, bagaimanakah negara-negara miskin di Afrika, di Amerika Selatan dan di Asia, boleh menjadi maju dan mampu bersaing dengan negara maju ekonomi (Amerika Syarikat, Jepun, Korea, negara-negara Eropah dan lain-lain) kalau mereka dipaksa mematuhi peraturan ‘pasaran bebas’ yang sama? Inilah peraturan yang dibawa ke Tanah Melayu oleh para pedagang asing tetapi orang Melayu tidak digalakkan mengambil bahagian dalam pasaran itu sehingga akhirnya mereka menjadi mangsanya – mangsa eksploitasi dan mangsa penjajahan ekonomi yang dikuasai oleh kapitalis asing. Orang Melayu tidak perlu diberikan ‘tongkat’; yang perlu diberikan kepada mereka ialah peluang yang saksama, berdasarkan potensi atau kebolehan dan kelayakan mereka, untuk mengambil bahagian dalam dunia perniagaan dan perusahaan di Tanah Air mereka sendiri sehingga mereka mampu bersaing dalam pasaran yang peraturannya semestinya adil, tidak bercorak penjajahan.
35. Sehubungan ini, baik saya ingatkan bagaimana kita dijajah oleh Syarikat East India Company Inggeris. Pegawai-pegawai kolonial British, termasuk yang paling terkenal daripada mereka, Sir Stamford Raffles, bekerja sebagai wakil Syarikat ini! Di Singapura, Raffles bagi pihak Syarikat ini, berjaya mendapatkan hak memiliki tanah Melayu, iaitu di Singapura, pulau milik Kerajaan Johor-Riau, mula-mulanya untuk mendirikan kilang Syarikat, akhirnya seluruh pulau Singapura jatuh ke tangan orang lain. Saya menyebut peristiwa ini untuk mengingatkan kita bahawa sejarah sering berulang. Jangan lupa, ‘hantu’ ‘Syarikat East India Company’ atau syarikat jenis itu masih ada, iaitu dalam bentuk syarikat transnasional dan multinasional yang sentiasa mencari kawasan di luar negara masing-masing untuk melabur di negara itu – termasuk di Malaysia, di Johor Baharu, dan di banyak kawasan lain lagi di negara ini. Kalau orang Melayu hari ini menyedari sejarah bagaimana Singapura jatuh ke tangan East India Company Inggeris mulai tahun 1824 dan seterusnya Singapura menjadi sebuah negara yang terpisah dari Tanah Melayu, mereka tidak akan membiarkan sejarah itu berulang
lagi di negara ini atau di mana-mana negeri Melayu di Malaysia sekarang dan di masa akan datang.
36. Kita perlu ingat bahawa kerajaan yang dipilih oleh rakyat negeri ini mempunyai tanggungjawab moral dan politik untuk mempertahankan kedaulatan, tanah dan pusaka nenek moyang kita daripada dikuasai atau dijajah sekali lagi oleh kuasa-kuasa asing atas nama ‘perdagangan bebas antarabangsa’ atau melalui pelaburan asing yang tidak dikawal secara politik dan moral oleh kerajaan.
MELAYU MAKIN TIDAK SEBANDING DENGAN ORANG BUKAN MELAYU DALAM BIDANG EKONOMI DAN PENDIDIKAN. APA SEBABNYA?
37. Setelah sekian lama, orang Melayu gagal mencapai matlamat 30% ekuiti ekonomi dan korporat Melayu melalui Dasar Ekonomi Baru itu. Malah pencapaiannya rendah sekali; dikatakan tidak lebih 18%. Orang Melayu rata-rata mulai berasa resah, risau melihat keadaan mereka dalam bidang ekonomi, dalam bidang pendidikan dan dalam bidang sosial, makin ketinggalan, kalau tidak pun semakin teruk, berbanding dengan keadaan kaum lain. Reaksi Melayu ialah, mereka tidak berhenti-henti mengadakan pelbagai ‘kongres’, seminar dan perbincangan tentang ‘agenda Melayu’, tentang segala macam kehilangan yang mereka alami. Orang lain juga tidak berhenti-henti membincangkan ‘agenda’ mereka, sama ada secara terbuka mahupun secara diam-diam, tetapi perjuangan mereka ialah untuk menuntut kelebihan, menuntut hak itu dan ini sebagai tambahan kepada apa-apa yang sudah ada dan sudah mereka peroleh – tidak kurang diperolehnya daripada orang Melayu juga – sedangkan orang Melayu lebih sibuk cuba mempertahankan apa-apa yang masih ada pada mereka atau cuba menuntut kembali apa-apa yang sudah terlepas daripada mereka atau yang sudah jatuh ke tangan orang lain.
38. Di mana-mana sahaja saya berjumpa atau terjumpa atau diajak berjumpa dengan orang Melayu yang prihatin – intelektual dan para sarjana Melayu, ahli ekonomi Melayu, peniaga Melayu, ahli politik Melayu yang sedar dan berani bercakap, penulis dan sasterawan Melayu, penyokong kerajaan dan kaki bangkang kerajaan dan pemimpin, penyokong UMNO dan pengkritik UMNO, dan rakyat biasa – saya mendengar suara keluh kesah, suara kebingungan dan kehairanan melihat mengapa bangsa Melayu kelihatannya makin kehilangan hak mereka di Tanah Airnya sendiri. Dan sejak mutakhir ini, orang bukan Melayu makin lantang dan berani pula mempersoalkan agama Islam, hak atau kedudukan Melayu dalam sektor perkhidmatan awam, soal ‘kontrak sosial’ dalam Perlembagaan, soal mengapa tidak ada orang bukan Melayu menjadi panglima tentera sekurang-kurangnya berpangkat mejar jeneral. Ini menunjukkan bahawa orang Melayu makin lemah sehingga menyebabkan orang lain berasa mereka berhak mempersoalkan kedudukan Melayu di negara ini. Seolah-olah, di mata dunia, yang salah, yang jahat, ialah bangsa Melayu dan yang ‘tertindas’ ialah kaum lain!
39. Padahal orang Melayu mempunyai segala ‘advantage’ atau peluang dan kelebihan yang cukup baik untuk menjadi bangsa yang maju, ‘cemerlang, gemilang dan terbilang selepas tahun 1957. Mengapa tidak? Di negara ini Rajanya ialah Raja Melayu, PM dan TPM sejak dahulu ialah orang Melayu; menteri Melayu (atau menteri beragama Islam walaupun mereka bukan keturunan etnik Melayu) mengetuai kementerian penting, misalnya Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Kewangan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Kementerian Penerangan, dan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Ada pula Kementerian Hal Ehwal Islam. Menteri Besar semuanya orang Melayu, kecuali Ketua Menteri Pulau Pinang. Anggota pentadbiran awam Malaysia sebahagian besarnya terdiri dan diketuai oleh orang Melayu. Dan yang penting lagi, bangsa Melayu ialah bangsa beragama Islam, agama Wahyu, agama yang di dalamnya terkandung formula atau pedoman yang cukup lengkap tentang bagaimana manusia Muslim boleh dan mesti menjadi umat yang maju dan kuat di dunia, sebagai khalifah di dunia.
40. Tentulah ada sebab-sebab yang fundamental yang menyebabkan kemajuan bangsa Melayu tidak setara atau seimbang dengan kemajuan kaum lain. Kita jangan terlalu menyalahkan bangsa Melayu atas segala masalah yang mereka hadapi itu, misalnya dengan menuduh mereka malas, budaya mereka tidak maju, mereka mempunyai perangai PHD (pengkhianat, hasad dan dengki) – ini semua fitnah! – seolah-olah dalam kalangan bangsa lain tidak ada yang malas, budaya mereka budaya maju, dan mereka tidak berperangai PHD. Kita mesti lebih rasional, lebih bijak, dalam menangani masalah orang Melayu. Kita mesti bertanya: apakah kepimpinan Melayu tidak ikut bersalah? Apakah dasar dan sistem yang ada salah, atau baik tetapi banyak kesilapan, kesalahan dan penyelewengan di peringkat pelaksanaannya?
41. Saya akan menyebut ENAM sebab atau punca pokok secara umumnya tentang mengapa keadaan Melayu dalam serba bidang makin tidak meningkat maju; grafnya nampaknya naik turun dan turun naik, tidak menegak dan tidak bertahan atau tahan lama.
42. Pertama, perpaduan kebangsaan bangsa Melayu makin lama makin lemah, tidak teguh. Mereka tidak bersatu dalam menghadapi masalah atau agenda bersama. Mereka berpecah atau tidak bersatu bukan sahaja kerana perbezaan ‘ideologi’ politik atau parti, misalnya antara UMNO dan PAS, tetapi juga perpecahan dalam UMNO disebabkan kepentingan peribadi, tidak kepentingan parti, bangsa dan negara. Ingat, sebagai umat Islam kita semua adalah bersaudara; kalau di Masjid, Imam menyeru supaya saf (barisan) kita dirapatkan, maka di luar pun saf kita mesti dirapatkan dan jangan dibiarkan dipecahkan oleh pelbagai jenis perbezaan dan kepentingan puak dan peribadi. Ingat juga bahawa musuh orang Islam makin banyak di serata dunia, dan di dalam negeri ini. Kita tidak boleh berpecah. Itulah visi Razak yang melihat perpaduan Melayu sebagai asas kekuatan dan kemajuan bangsa Melayu, dan lebih penting lagi sebagai asas perpaduan kebangsaan. Dia tidak mahu Melayu berpecah kerana perbezaan parti politik atau perbezaan ‘mazhab politik’.
43. Kaum Cina nampaknya tidak berpecah. Walaupun mereka mempunyai tiga atau lebih parti politik, mereka bersatu apabila menghadapi kepentingan bersama bangsa mereka, misalnya kepentingan budaya, kepentingan bahasa, pendidikan, ekonomi dan kepentingan politik mereka. Apa-apa desakan atau tuntutan yang tidak dapat disuarakan secara terus terang oleh parti Cina dalam Barisan Nasional, tuntutan itu akan dilancarkan oleh parti Cina yang lain, misalnya Parti DAP, atau oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Cina, iaitu Dong Ziao Jong yang cukup besar dan berpengaruh, disegani atau ditakuti oleh parti MCA, Gerakan dan DAP. Tidak ada parti politik Cina yang berani menggertak atau mencegah NGO Cina daripada bersuara menentang atau mengkritik kerajaan atau menuntut itu dan ini daripada kerajaan. Sebaliknya, UMNO atau kerajaan sering mencurigai atau tidak menyokong gerakan NGO Melayu atau golongan pemikir dan aktivis Melayu yang dianggap agak kritis terhadap kerajaan atau yang menegur kerajaan atau cuba bersuara untuk membela kepentingan bangsa Melayu. Sebagai contoh, saya mendapat maklumat (dan banyak orang sudah mengetahuinya) bahawa apabila kumpulan NGO budaya, bahasa dan sastera Melayu di bawah pakatan GAPENA (Gabungan Persekutuan Persatuan Penulis Nasional ) cuba menganjurkan Kongres Bahasa, Persuratan dan Kebudayaan Melayu ke-VII baru-baru ini, dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), mereka telah menghadapi pelbagai rintangan dan masalah. Tidak ada menteri yang sanggup merasmikan Kongres yang saya anggap merupakan agenda Melayu yang cukup penting. Kita seolah-olah sudah mulai takut untuk bercakap tentang kepentingan dan hak Melayu, takut untuk mempertahankan kedudukan bahasa Melayu yang merupakan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara, takut untuk menegur kelemahan pemimpin.
44. Akibatnya, kita kehilangan sokongan popular dan sokongan ‘think tank’ Melayu yang pro-bangsa, pro-kerajaan dan pro-negara, ‘think tank’ Melayu yang bebas dan dapat memberikan pandangan alternatif, tidak ‘think tank’ Melayu yang terlalu ‘terikat’ dengan kehendak dan pendirian rasmi dan autoritatif pihak berkuasa sahaja. Razak memperluaskan landasan atau ‘base’ sokongan rakyat terhadap kerajaan dan parti dengan menggunakan NGO Melayu dan golongan pemikir dan profesional Melayu di luar parti untuk memberikan input yang andal atau kredibel kepada beliau, kepada kerajaan dan kepada parti. Bahkan pada zaman Tunku Abdul Rahman, semasa parti PAS membantah Bill (Rang Undang-Undang) Bahasa Kebangsaan yang sedang dibahaskan (‘dibaca’) dalam Parlimen waktu itu (1966), dan Peguam Negara waktu itu memberi amaran para pembantah akan ditangkap, Tunku memberitahu beliau; ‘Biarkan mereka membantah supaya orang lain akan takut bahawa kerajaan akan mendengar dan menerima bantahan itu’. Bagi saya, pentinglah kerajaan UMNO merekrut atau ‘mengko-opt’ NGO Melayu yang baik-baik, yang profesional dan bertanggungjawab sebagai partner atau ‘rakan seperjuangan bangsa Melayu’ tanpa mengira ideologi, kepentingan parti politik dan kepentingan peribadi.
45. Kedua ialah masalah yang ada kaitan dengan masalah pertama, iaitu kebebasan minda orang Melayu. Biar kita berterus terang di sini. Salah satu bentuk penjajahan ialah tindakan pihak berkuasa menutup mulut orang daripada mengkritik, menegur dan memberikan pandangan dan cadangan alternatif kepada pihak yang berkuasa. Inilah dasar penjajah British dahulu. Tetapi apakah sekarang bangsa kita benar-benar sudah bebas untuk berfikir dan bersuara demi kepentingan bangsa dan negara? Ramai yang memerhatikan bahawa, dalam parti UMNO, misalnya, kebebasan ahli untuk bersuara, untuk menegur, mengkritik dan mengemukakan pandangan dan cadangan dan usul yang berlainan daripada pandangan status quo atau pandangan mainstream pucuk kepimpinan sering dilarang atau dicegah atau ditapis sekiranya pihak yang berkuasa dalam parti menganggap cadangan itu tidak disukai oleh pihak yang berkuasa. Kononnya cara ini bertujuan untuk menjaga perpaduan atau solidariti Parti. Macam mana bangsa Melayu hendak menjadi bangsa yang cemerlang dan maju jikalau kebebasan bersuara dan berfikir mereka disekat? Kebebasan berfikir dan bersuara tidak bererti kebebasan menghasut, mengumpat, menghina dan menghentam semberono sahaja, yang tidak akan mendatangkan apa-apa kebaikan dan kemajuan kepada bangsa dan negara, tetapi itulah yang akan terjadi jikalau suara mereka yang baik-baik cuba disekat. Pemimpin yang baik dan yang beragama Islam dan yang tidak melakukan apa-apa kesalahan dan dosa kepada bangsa dan negaranya sepatutnya tidak takut kepada kritik dan teguran yang membina.
46. Bandingkan ‘budaya politik’ Melayu ini dengan budaya demokrasi parti bukan Melayu, misalnya MCA. Banyak pihak yang berpendapat, bahawa demokrasi lebih banyak terdapat dalam MCA daripada dalam UMNO. Dalam MCA tidak ada peraturan yang melarang sesiapa mencabar atau menandingi jawatan-jawatan tinggi Parti. Presiden MCA dibenarkan memegang jawatan selama dua penggal sahaja. Dengan cara ini, ahli-ahli MCA bebas memilih calon yang betul-betul layak untuk memperjuangkan kepentingan kaum Cina di Malaysia. Rasuah atau wang tidak boleh membeli undi anggota MCA. Dan perpaduan atau solidarit parti tidak tergugat.
47. Ketiga, orang Melayu lebih banyak bertindak secara reaktif, iaitu bertindak setelah berlaku kejadian, daripada bertindak secara proaktif. Misalnya, cara kita membalas kritikan kaum lain terhadap orang Melayu atau terhadap UMNO dan dasar kebangsaan negara kadang-kadang tidak bijak dan tidak berdasarkan ilmu atau kebenaran dan fakta sehingga kesannya ialah kita mendedahkan kelemahan bangsa kita sendiri di khalayak umum. Kita menjerit-jerit, memarahi orang lain itu, lagaknya seperti orang hendak mengamuk, atau seperti fanatik parti atau fanatik Melayu. Lalu orang lain menggunakan kesempatan itu untuk menuduh orang Melayu rasis atau tidak rasional, atau tidak bijak, padahal bangsa Melayu bukan bangsa rasis seperti kaum Yahudi atau kaum-kaum lain yang tidak perlu saya sebutkan di sini.
48. UMNO patut membina data base maklumat dan penyelidikan yang lengkap, sentiasa kemas kini, autoritatif dan ‘credible’ tentang keadaan dan masalah orang Melayu dalam semua bidang, tentang fakta-fakta ekonomi, sosial dan politik negara, dan sebagainya. Dalam usaha ini UMNO mesti menggunakan tenaga dan pemikiran sarjana dan intelektual Melayu yang baik-baik atau yang terbaik (‘the best Malay brains’), tidak kira apakah latar belakang atau orientasi politik mereka, untuk melakukan kajian dan penyelidikan bagi pihak UMNO. Dengan cara ini, UMNO tidak hanya akan menjadi ‘penyokong kerajaan’ secara pasif sahaja tetapi juga dapat secara wibawa membantu kerajaan untuk membuat keputusan atau dasar yang boleh menguntungkan bangsa Melayu berdasarkan fakta dan realiti yang jelas, yang tidak mudah disangkal oleh pihak lain. Kita harus sedar bahawa kerajaan Malaysia bukan kerajaan orang Melayu tetapi ialah kerajaan pelbagai parti dan pelbagai etnik. Keputusan kerajaan sering dibuat melalui Kabinet. Jadi, penting UMNO memastikan menteri-menteri UMNO tidak terus bertolak-ansur dalam Kabinet. Selain ini UMNO juga dapat membuat balasan atau respons yang kritis, bijak dan kredibel, wibawa dan disegani, dipercayai dan dihormati terhadap kritikan dan tuduhan orang lain.
49. Orang Melayu sepatutnya menjadi ‘suara’ pandangan awam (‘public opinion’) yang utama, serius dan dihormati oleh semua kaum untuk bercakap tentang isu-isu keadilan ekonomi, politik, sosial dan moral yang melibatkan kepentingan awam dan kepentingan negara, tidak kira kaum. Hari ini kita perhatikan orang bukan Melayu lebih berani menjadi ‘suara rakyat’, membentuk pandangan awam, dalam pelbagai isu. Orang Melayu nampaknya lebih merupakan ‘pihak yang pendiam atau ‘pasif’.
50. Keempat, bangsa Melayu semakin hari semakin menjadi mangsa kuasa beli ekonomi kapitalisme dan budaya konsumerismenya. Kita melihat dua perkembangan yang cukup merisaukan kita. Pertama, kita melihatnya dalam bentuk amalan rasuah yang menjadi-jadi di kalangan orang Melayu yang mempunyai kuasa, banyak atau sedikit, untuk memberi faedah kepada sesiapa yang sanggup membayar ‘perkhidmatan’ mereka. Akibatnya, banyak ‘hak’, peluang dan kepentingan Melayu terjatuh kepada orang lain yang mempunyai kuasa beli yang lebih, banyak dasar untuk kepentingan Melayu atau negara gagal mencapai matlamatnya kerana dasar itu tidak dilaksanakan dengan ‘bersih, cekap dan amanah’, dan ada yang berpendapat makin banyak orang Melayu yang berkuasa dan berpengaruh itu tidak lagi memikirkan dan mementingkan kepentingan bangsanya atau negara tetapi mementingkan diri mereka. Ada di antara mereka lebih pro-business daripada pro-rakyat dan negara.
51. Perkembangan kedua dapat kita lihat dari kemerosotan nilai dan kelakuan sosial, budaya dan moral orang Melayu. Hiburan bercorak hedonistik, yang mengkhayalkan, yang tidak memajukan minda atau akal budi dan budi pekerti yang beradab disebarkan bertalu-talu kepada penonton TV Melayu. Kesannya terhadap pemikiran, nilai dan kelakuan sosial dan moral bangsa Melayu, terutama di kalangan generasi muda, boleh jadi serius dan dahsyat. Penagih dadah dari kalangan orang Melayu makin bertambah besar jumlahnya; maksiat makin menjadi-jadi di kalangan orang Melayu; fenomena sosial-budaya pinggiran seperti kumpulan ‘Mat Rempit’ hanya terdapat dalam kalangan remaja Melayu; gerakan golongan ‘pemikir Islam liberal’ makin lantang, dan mereka menganggap kejadian murtad sebagai perkara remeh dalam Islam. Kadi dan Mufti yang bercakap benar dianggap salah dan tidak disukai oleh pihak yang berkuasa.
52. Kelima, kita gagal menggunakan parti Melayu yang terbesar, iaitu UMNO, sebagai kuasa massa rakyat atau kuasa bangsa Melayu untuk memantau tindakan dan keputusan para pemimpin Melayu dalam kerajaan yang bertentangan dengan kepentingan bangsa Melayu atau yang bertentangan dengan dasar UMNO atau yang boleh memudaratkan kedudukan dan masa depan bangsa Melayu di negara ini. Jikalau menteri dari UMNO membuat apa-apa keputusan pentadbiran yang tidak sesuai atau bertentangan dengan dasar kebangsaan yang ada, menteri itu mesti ditegur dan dicegah oleh UMNO atau Pemuda UMNO. Yang susahnya ialah, apabila Ketua Pemuda UMNO juga menjadi Menteri (sebagai pegawai awam). Jikalau menteri itu membuat keputusan yang boleh merosakkan kepentingan Melayu, beranikah Pemuda UMNO, atau katakanlah, Timbalannya, memberitahu menteri itu: batalkan keputusan itu! Saya hanya menimbulkan kes hipotesis sahaja, bukan kes sebenarnya. Jadi jangan salah sangka. Yang penting diingatkan ialah, menteri Melayu dan semua pemegang jawatan tinggi dalam parti dipilih oleh orang Melayu, oleh anggota parti. Jadi pentinglah kuasa politik Melayu ini berada dalam tangan parti, supaya parti dapat mengawal dasar dan tindakan kerajaan.
53. Yang keenam dan terakhir, kita selama ini gagal membina asas atau tapak atau rangkaian critical mass ekonomi, politik, budaya dan sosial Melayu yang kukuh dan stabil, yang mampu secara ‘kolektif’, tidak hanya secara individu, menyaingi orang lain dalam ‘ekonomi pasaran’. Tindakan kita kadang-kadang bersifat ‘personalised’: ini juga menjadi salah satu punca kegagalan Dasar Ekonomi Baru. Dasar itu tidak diberi kesempatan untuk membuktikan kebaikannya. Mulai pertengahan tahun 1980-an dasar liberalisme ekonomi atau penswastaan yang cukup radikal membantutkan sistem ‘mixed-economy’ Dasar Ekonomi Baru. Beberapa banyak perbadanan atau syarikat awam (kerajaan) yang ditubuhkan di bawah sistem Dasar Ekonomi Baru diswastakan atau dikorporatkan, atau dijual kepada orang-orang tertentu. Tujuannya, antara lain, kononnya untuk mewujudkan beberapa banyak jutawan Melayu dengan harapan mereka akan melimpahkan kekayaan atau perniagaan mereka kepada peniaga-peniaga Melayu melalui modal besar yang ada pada kumpulan korporat atau jutawan Melayu itu. Saya tidak tahu sama ada ini tindakan yang munasabah dan berkesan.
54. Kita sepatutnya mewujudkan sistem pembangunan ekonomi piramid: biar tapak atau bahagian bawah piramid ekonomi Melayu itu terus melebar, teguh mantap dan tahan menghadapi persaingan. Itulah, pada fikiran saya, ‘struktur ekonomi lebar bawah’ atau ‘broad-based economic struture’ orang Melayu yang boleh dihasilkan oleh Dasar Ekonomi Baru jikalau dasar itu tidak beralih kepada ekonomi monopolistik mulai tindakan dan dasar lain seperti yang saya sebutkan tadi. Hari ini Government-Linked Companies (GLC) menjadi pesaing yang monopolistik kepada peniaga dan kontraktor kecil dan menengah Melayu. Inikah kehendak atau matlamat Dasar Ekonomi Baru?
55. Jadi, jikalau bangsa Melayu tidak mahu gagal seterusnya, mereka hendaklah membetulkan enam kesilapan atau kelemahan yang saya sebutkan itu. Kaum Cina di negara ini maju, khususnya dalam bidang ekonomi, bukan semata-mata kerana mereka lebih pandai daripada bangsa Melayu – orang Cina yang miskin dan gagal dalam perniagaan pun banyak juga – tetapi kerana secara kolektif mereka tidak melakukan atau mengalami enam kelemahan yang tersebut itu. Cubalah saudara sekalian fikirkan benar atau tidak apa yang saya katakan ini.
KESIMPULAN
56. Itulah secara ringkasnya, legasi atau visi dan ‘model’ Razak atau ala-Razak terhadap pembangunan negara. Dia meletakkan pembangunan negara atas tapak acuan sendiri, acuan Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, yang mempunyai warisan dan tamadunnya sendiri dalam sejarah, yang mempunyai masalahnya tersendiri yang tidak terdapat di India, di negeri Cina, di Britain dan di tempat-tempat lain. Kita dapat mengembalikan kestabilan dan keamanan negara selepas Peristiwa 13 Mei kerana kita berjaya membetulkan kesalahan dan kerosakan zaman British, menggantikannya dengan ‘model’ pembangunan negara berdasarkan perpaduan kebangsaan yang dipupuk dan dibina melalui dasar-dasar dan sistem kebangsaan yang berteraskan konsep atau prinsip keadilan ekonomi, keadilan sosial, keadilan politik dan keadilan budaya kepada semua kaum demi kepentingan kebangsaan atau kepentingan negara, tidak untuk kepentingan ‘private’ mana-mana kaum. Inilah legasi Razak terhadap pembangunan negara. Apakah kita mempunyai pilihan atau model lain yang lebih baik?
57. Watak Razak memainkan peranan penting dalam proses itu. Dia ialah nasionalis Melayu tetapi dia bukan fanatik bangsa Melayu; dia tidak pernah bersikap rasis atau perkauman terhadap orang lain. Dia seorang yang ‘moderate’, yang sederhana. Dia berfikir untuk kepentingan negara, untuk kepentingan perpaduan semua rakyat, tidak untuk kepentingan Melayu sahaja, walaupun beliau sering disalah sangka sebagai pemimpin Melayu yang terlalu pro-Melayu. Apabila dia menghubungi Lim Chong Eu, Ketua Menteri Pulau Pinang, untuk meminta nasihatnya setelah berlaku Peristiwa 13 Mei, Lim memberitahu Razak melalui telefon: ‘Tun, you do whatever you think is right’. Itulah tanda keyakinan seorang ketua kaum Cina (dari Parti Gerakan) terhadap kepimpinan dan kredibiliti Razak. Dialah orang yang mengambil inisiatif menjalin perhubungan diplomatik dengan negara Komunis Cina – suatu tindakan yang saya kira tentu memeranjatkan kaum Cina Malaysia. Mereka tentunya bertambah yakin terhadap kepimpinan Razak.
58. Dengan berfikiran sederhana dan bebas etnik itulah Razak berjaya meninggalkan suatu visi, suatu wawasan, atau model pembinaan negara-bangsa Malaysia yang, pada fikiran saya, sampai sekarang sukar dicari ganti atau alternatifnya yang lebih baik dan lebih sesuai dengan keadaan demografi, sejarah dan warisan negara ini. Elok juga diingatkan, Razak tidak mengumpul harta untuk dirinya; dia tidak perasuah; dia meninggal dunia sebagai insan tidak kaya raya.
PENUTUP
59. Sebagai penutup elok saya sebutkan semula tentang asas utama pembangunan negara berdasarkan konsep dan dasar perpaduan kebangsaan itu, iaitu kontrak sosial yang telah disepakati antara orang Melayu dengan kaum-kaum lain semasa mengadakan perundingan kemerdekaan dengan pihak British. Razak menggunakan kontrak sosial itu sebagai asas atau model pembinaan negaranya. Orang Melayu berpegang kepada hakikat (yang tidak dapat ditolak oleh sesiapa) bahawa yang dijajah atau diperintah oleh British selama lebih kurang 90 tahun (kalau kita mengambil tarikh Perjanjian Pangkor 1874 sebagai titik tolaknya) ialah Tanah Melayu, Negeri-Negeri Melayu, kerajaan Melayu, dan bangsa Melayu yang menjadi penduduk asal negeri ini (kalau tidak mana mungkin wujudnya istilah ‘negeri Melayu’ itu sejak puluhan abad lamanya). Dengan kata lain, British tidak menjajah tanah air atau negeri dan bangsa lain. Tetapi seperti yang telah saya sebutkan terdahulu daripada ini, sepanjang pemerintahan British itu, kerajaan Melayu atau Raja-Raja Melayu yang menjadi ketua kerajaan Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kerajaan, dan agama Islam sebagai agama kerajaan negeri Melayu, tidak terhapus tetapi kekal hingga British menyerahkan Tanah Melayu kepada kita. Orang Melayu (dan pihak British pun menyedari dan mengakuinya) bahawa itulah warisan dan hak Melayu yang ada pada mereka sejak dahulu, sejak sebelum merdeka, dan tidak boleh dihapuskan atau digantikan dengan sistem pelbagai kaum. Selain ini, orang Melayu berhak atas tanah pusaka nenek moyangnya sebagai aset atau harta mereka, dan tidak boleh dijual kepada orang asing, tetapi boleh dikongsi dengan kaum-kaum lain yang menjadi rakyat negara ini.
60. Orang Melayu sanggup bertolak ansur dengan kaum-kaum lain. Tiga pengorbanan atau tolak ansur yang dilakukan oleh orang Melayu ialah:
Pertama, mereka sanggup atau bersetuju (dengan kehendak atau nasihat British) untuk menerima kaum-kaum lain berkongsi bersama-sama orang Melayu memerintah negara selepas Merdeka; [elok diingatkan bahawa sepanjang sejarah Tanah Air Melayu ini kaum bukan Melayu tidak pernah menjadi pemerintah Negeri-Negeri Melayu, walaupun dalam zaman pemerintahan British];
Kedua, orang Melayu sanggup memberikan kerakyatan kepada orang bukan Melayu secara en block berdasarkan prinsip jus soli, yakni, semua kaum bukan Melayu yang lahir di Tanah Melayu sebelum merdeka diterima sebagai warga negara (rakyat) Persekutuan Tanah Melayu; sepatutnya mereka dipulangkan ke negeri asalnya kerana mereka adalah pendatang (bukan rakyat) di negeri ini pada waktu itu, tetapi orang Melayu tidak menuntut tindakan itu dilakukan; dan
Ketiga, orang Melayu bersedia membenarkan kaum-kaum lain mengekalkan budaya, bahasa dan agama mereka di negara ini selepas merdeka.
61. Itulah kontrak sosial yang kemudiannya dimaterikan dalam Perlembagaan tahun 1957. Dan itulah asas atau rujukan para pemimpin kerajaan dari Parti Perikatan dan kemudiannya dari Barisan Nasional dalam usaha mereka untuk membina negara-bangsa Malaysia berdasarkan perpaduan kebangsaan dan berdasarkan sistem atau dasar-dasar yang merentas sempadan etnik, untuk kepentingan semua kaum. Saya berani berkata bahawa Tun Razak ialah pemimpin negara yang paling jelas visinya terhadap pembangunan negara berdasarkan semangat kontrak sosial itu.
62. Saya percaya generasi sekarang – termasuklah anggota UMNO, MCA, Gerakan, MIC dan DAP, dan parti-parti yang lain – tidak memahami latar belakang yang melahirkan kontrak sosial itu sebagai asas perpaduan dan pembangunan negara selepas merdeka. Orang yang mengungkitkan kontrak sosial ini seolah-olah percaya bahawa kontrak itu menimbulkan keadaan yang mereka katakan ‘ketidakadilan’ ekonomi, budaya, politik, sosial dan agama terhadap kaum-kaum bukan Melayu. Tindakan mereka itu seperti perbuatan orang yang cuba membuka Pandora’s box, kotak yang akan mendedahkan atau melimpahkan masalah-masalah lama yang sudah diselesaikan dan ditutup. Kalau mereka melihat gambaran sebenarnya, orang Melayulah yang nampaknya makin lama makin ketinggalan dalam pelbagai bidang, seperti yang telah kita sebutkan. Dasar Ekonomi Baru (DEB) tidak menyebabkan bangsa Melayu tiba-tiba melonjak menjadi kaum kelas pertama di negara ini. Malah, golongan yang bertambah lebih mewah bukan orang Melayu tetapi kaum Cina. Saya kira orang bukan Melayu hendaklah juga bertolak ansur, tidak hanya menuntut itu dan ini, mengkritik dasar-dasar kebangsaan yang pada asasnya baik untuk kemajuan dan perpaduan negara, mendesak supaya sosial kontrak yang sebenarnya baik untuk mereka juga (jikalau mereka faham) dihapuskan, dan sebagainya. Kita takut nanti akan berlaku ‘the Malay back lash’ – kemungkinan orang Melayu tidak sahaja marah terhadap kaum-kaum lain tetapi juga terhadap para pemimpin Melayu yang mereka anggap menjadi punca masalah orang Melayu dan masalah yang ditimbulkan oleh kaum bukan Melayu itu – kerana para pemimpin Melayu itu terlalu bertolak ansur dan tidak berhenti-henti bertolak-ansur dengan kehendak orang lain. Ada orang yang berkata bahawa kita bangsa Melayu lebih mudah bertolak ansur dengan kaum lain tetapi payah hendak bertolak ansur dengan bangsa sendiri.
63. Saya mencadangkan supaya Akademi Pemuda UMNO membuat kajian yang mendalam dan objektif tentang kontrak sosial ini berdasarkan rekod dan dokumen pra-1957 yang ada dan hasilnya diedarkan untuk tatapan generasi hari ini. Orang cuma melihat apa yang terakam dalam Perlembagaan tetapi tidak mengetahui dan memahami latar belakangnya, sejarahnya, imperatifnya, kebaikannya untuk negara seperti Malaysia.
64. Akhir kata, elok saya ingatkan saudara sekalian supaya kita jangan terlalu ghairah mempercayai bahawa bangsa Melayu masih mempunyai kekuatan atau kuasa politik yang ‘kuat’ di negara ini. Lima puluh dua tahun dahulu, iaitu dalam tahun 1955, UMNO mempunyai majoriti 2/3 dalam Majlis Perundingan Persekutuan (atau Parlimen) apabila parti ini memenangi 33 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya pertama yang diadakan dalam tahun itu (anggota Perikatan yang lain, iaitu MCA memenangi 17 kerusi, MIC 1 kerusi). Parti Islam Sa-Malaya (sekarang Pas) memenangi 1 kerusi. Setelah 52 tahun, kuasa politik Melayu merosot sehingga ke tahap yang membimbangkan. UMNO hari ini cuma mempunyai majoriti kecil (‘simple majority’) dalam Parlimen. Kuasa politik orang Melayu masih ‘kuat’ di peringkat negeri di Semenanjung Malaysia/Malaysia Barat (dulu disebut Persekutuan Tanah Melayu), kecuali di Pulau Pinang. Kita lihat di Pulau Pinang masalah dan kedudukan ekonomi dan sosial Melayu sukar dimajukan. Kuasa politik Melayu di sana tidak cukup kuat lagi untuk menentukan dasar ‘pro-Melayu’ atau dasar yang adil kepada bangsa Melayu di Pulau itu.
65. Moral atau pelajaran yang hendak saya sampaikan ialah: jikalau kita tidak lagi mempunyai kuasa atau kekuatan politik dan ekonomi yang dominan, dapatkah kita terus mempertahankan hak dan kepentingan Melayu yang masih ada di negara ini atau mempertahankan dasar-dasar kebangsaan yang ada selama ini tanpa meminta atau merayu sokongan daripada kaum-kaum lain, atau tanpa terpaksa terus bertolak-ansur lagi dan melakukan ‘trade-off’ dengan kehendak orang lain? Ada orang yang bertanya saya: sejak pilihan raya tahun 1955 itu ada tidak calon Melayu (dari UMNO) yang menang dalam kawasan yang majoriti pengundinya bukan Melayu. Setahu saya, tidak ada. Dalam pilihan raya yang lepas, 18 calon bukan Melayu (dari Parti Barisan Nasional) bertanding di kawasan parlimen yang majoriti pengundinya ialah orang Melayu. Semuanya menang dan semua calon Melayu-Islam dari parti ‘pembangkang’ kalah. Di peringkat Negeri, 33 calon bukan Melayu (dari BN) bertanding di kawasan yang majoriti pengundinya ialah orang Melayu. Semua calon itu menang dan calon-calon lawannya dari orang Melayu-Islam kalah. ‘Baik hati’ politik (atau bagi saya ‘ketidakbijaksanaan politik’) Melayu ini agaknya elok diberitahukan atau diperingatkan kepada orang bukan Melayu supaya mereka akan sedar dan insaf betapa beruntungnya mereka ‘diperintah’ oleh kerajaan yang masih dikuasai oleh orang Melayu.
Fikirkanlah keadaan ini
Sekianlah, wasaalam mualaikum.