Monday, May 5, 2008

Kelab peminat Ku Li akan dilancarkan

Abdul Rahim Sabri | May 3, 08 1:42pm
Kelab Peminat Tengku Razaleigh (KPTR) akan ditubuhkan untuk mengetengahkan bekas naib presiden Umno itu sebagai wakil rakyat yang berkebolehan memimpin negara.

Ahli parlimen Gua Musang itu telah menyatakan kesediaannya untuk bertanding jawatan presiden Umno dalam pemilihan parti itu Disember depan.

Seorang penggerak utama penubuhan kelab tersebut, Ahmad Fahmi Muhamad Amin berkata pihaknya dalam proses untuk mendaftar KPTR secepat mungkin.

"Jawatankuasa penaja sedang menyiapkan draf terakhir perlembagaan kelab," katanya kepada Malaysiakini.

Buat masa ini, katanya, pihaknya sedang membangunkan lamanweb KPTR untuk menarik seramai mungkin rakyat Malaysia menyertainya.

Menurutnya, terdapat sepuluh ahli jawatankuasa penaja yang bertanggungjawab menubuhkan kelab tersebut. KPTR beribupejabat di Desa Pandan, Kuala Lumpur.

Ahmad Fami berkata, kira-kira 3,000 keping borang keahlian telah dicetak dan kelab itu terbuka kepada semua rakyat Malaysia.

Bangun lamanweb

"Lamanweb ini dijangka dilancarkan pada pertengahan bulan Mei ini sekira segala perancangan berjalan lancar," tambahnya.

Beliau berkata, kelab itu akan menggunakan slogan "Demi Negara..."

Antara visi utama kelab ini ditubuhkan ialah untuk mengetengahkan idea dan pemikiran Tengku Razaliegh mengenai Malaysia.

Ia juga bertujuan untuk memperkenalkan Tengku Razaleigh sebagai wakil rakyat yang berkebolehan untuk memimpin negara.

Ahmad Fahmi menjelaskan bahawa kelab itu tidak melantik Tengku Razaleigh sebagai penasihatnya "kerana kelab ini juga mahu memberi teguran dan pandangan terhadap beliau".

Antara perancangan promosi untuk menarik keahlian ialah jualan baju-T dan topi.

Kelab ini juga akan mencetak 2,500 keping DVD ucapan Tengku Razaleigh dalam mesyuarat Agung Umno khas di Gua Musang baru-baru ini, berharga RM10 sekeping.

1 comment:

putra_langkawi said...

Assalamualaikum saudara...

saya berminat menyertai kelab peminat Ku Li...

bagaimana cara saya untuk menyumbang bakti bagi menyokong Ku Li menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri bagi memulihkan UMNO dan Barisan Nasional.