1. Saya terlebih dahulu ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Universiti Malaya, khususnya Akademi Pengajian Melayu yang sudi memberi penghargaan kepada saya untuk bersama mengambil bahagian dalam Syarahan Za’ba untuk tahun ini.
2. Tak banyak universiti ternama seperti Universiti Malaya yang sudi memberi penghargaan sebegini rupa kepada saya. Saya teringat, dulu, ketika saya berjawatan sebagai Menteri Kewangan, sebuah universiti lain pernah memberi penghormatan kepada saya dengan mewujudkan sebuah kerusi bagi pengajian ekonomi atas nama saya. Tak lama selepas itu, apabila saya dah tak jadi Menteri Kewangan, kerusi pengajian tersebut dimansuhkan.
3. Ternyata, sorong tarik kerusi bukan sahaja berlaku di parlimen atau kabinet, ia juga boleh berlaku di universiti. Sejak kerusi tadi dimansuh, saya dah tak ingat bila kali terakhir saya diundang lagi ke universiti berkenaan.
4. Hari ini saya terharu sekali. Saya diundang dan diberi penghormatan seperti ini bukan kerana saya seorang menteri atau sebagai orang besar. Saya hanyalah orang biasa. Saya bukanlah seorang ahli akademik. Bukan seorang professor, dan bukan seorang yang bergelar ilmuwan. Kelulusan saya sekadar di peringkat ijazah pertama di bidang ekonomi, dan tak sempat menghabiskan pengajian ijazah pertama di bidang undang-undang.
5. Mungkin di zaman saya tak ramai orang yang berkelulusan universiti. Apa yang saya miliki ketika itu mungkin sudah memadai bagi saya ditarik untuk memainkan peranan dalam pembinaan bangsa dan negara. Almarhum Tunku Abdul Rahman, sahabat arwah ayah saya, yang saya juga memanggilnya ayah, telah memujuk saya menyertai politik. Alasannya, saya perlu bantu bina UMNO di Kelantan yang hampir tiada ketika itu. Katanya Kelantan hanya boleh dimajukan sekiranya ia diperintah oleh UMNO. Saya terima pelawaan Tunku itu.
6. Saya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan dalam tahun 1969 dan bendahari UMNO Malaysia selepas itu. Apabila sudah aktif dengan politik, cita-cita saya nak jadi antara orang Melayu pertama belajar di universiti hingga dapat dua “degree” tak kesampaian hingga hari ini.
7. Itu cerita tahun 60an. Cerita zaman Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri pertama. Pengasas Malaya dan juga pengasas Malaysia. Bagi saya, Tunku adalah seorang “creator” atau pencipta. Mencipta dari yang tiada menjadi ada. Dari dijajah menjadi merdeka. Dari Malaya menjadi Malaysia. Saya memandang beliau sebagai seorang yang sangat hebat. Kehebatan itulah yang menyebabkan sukar bagi saya menolak pujukannya untuk saya bersama dengannya. Saya lihat beliau banyak sekali berkorban untuk negara dan rakyat. Politik yang murni ialah mengenai pengorbanan. Menyertai politik bererti seluruh jiwa dan raga kita mesti dipersiapkan untuk menjadi kuli negara.
8. Lebih-lebih lagi tanggungjawab ketika itu besar. Bagaimana nak penuhkan harapan rakyat. Rakyat yang miskin ketika dijajah mahu menjadi kaya selepas tidak lagi dijajah. Rakyat mahu pelbagai kemudahan dan kemewahan yang tidak ada di zaman penjajah. Rakyat mahu apa yang ada di negara penjajah ada di negara ini. Ia bukan kerja mudah. Ketika itu kita tidak mampu mengadakan semua perkara yang dikehendaki. Bukan sahaja kerana kita kekurangan wang, tetapi kita kurang orang yang berkemampuan melaksanakan apa yang kita kehendaki. Kita pula tidak boleh menyalahkan penjajah lagi di atas kelemahan kita, sebab kita sudah merdeka. Sebab itu ramai yang bertepuk tangan apabila melihat negara kita hampir musnah akibat peristiwa 13 Mei. Terutama sekali di kalangan mereka yang awal-awal lagi menyatakan ketidakyakinan mereka tentang kemampuan kita mentadbir negeri kita sendiri.
9. Bila Tun Razak mengambil alih tampuk pemerintahan, beliau memulakan era baru kepada perjuangan kemerdekaan. Katanya, kemerdekaan politik dah selesai. Sekarang kita masuk ke fasa kedua, iaitu mencari kemerdekaan ekonomi pula. Katanya tanpa kemerdekaan ekonomi, makna kemerdekaan politik akan menjadi kosong. Ketika itu banyak perkara yang baru saya sedari dan pelajari. Makna kemerdekaan bukan sekadar pada pemerintahan sendiri. Bukan sekadar kepada pilihanraya untuk memilih kerajaan sendiri. Bukan sekadar kepada lagu kebangsaan dan kibaran bendera kita sendiri. Ia mengenai keupayaan kita menguasai sepenuhnya apa yang kita miliki. Penjajah sudah meninggalkan kita, tetapi ladang-ladang kita masih milik syarikat-syarikat mereka. Lombong kita - milik mereka. Minyak kita - pun milik mereka juga. Inilah sahaja kekayaan yang kita ada dan semuanya milik syarikat penjajah. Sebab itu Malaysia ketika itu dilihat kaya, tetapi rakyatnya miskin. Ternyata penjajah lebih bijak dari apa yang kita jangka. Mereka datang kerana nak miliki kekayaan kita. Mereka pergipun masih dengan tangan yang menggenggam kekayaan kita. Getah, kelapa sawit, timah dan minyak semuanya milik syarikat-syarikat yang disenaraikan di bursa saham London. Ketika itu tak banyak professor yang boleh nasihatkan kita tentang perihal bursa saham. Lebih-lebih lagi bagaimana nak masuk berperang di bursa saham London dan mengambil semula apa yang dibawa lari oleh penjajah.
10. Saya tak pernah jadi menteri semasa Tun Razak menjadi Perdana Menteri. Di zaman beliau, saya hanyalah seorang ahli “back-bencher” biasa dalam parlimen kita. Lagipun masa beliau memerintah, hanya sekali sahaja pilihanraya sempat diadakan, iaitu di tahun 1974. Walaupun Tun Razak pernah tawarkan jawatan menteri kepada saya ketika itu, saya lebih suka berada di alam perniagaan. Lebih-lebih lagi bagaimana nak bangunkan masyarakat perniagaan di kalangan orang Melayu. Banyak perkara asas yang mesti diselesaikan. Misalnya orang Melayu takut simpan wang di bank. Bahkan ada ajaran yang mengatakan haram mendekatkan diri dengan bank, apatah lagi bekerja dengan bank. Membawa bank kepada orang Melayu dan mengajar orang Melayu tentang pentingnya institusi bank dalam kehidupan adalah perkara fundamental yang perlu diselesaikan dahulu. Ia bukan sahaja kerana alasan budaya dan ajaran agama, tetapi ia juga bersifat politikal. Maka kita lahirkan Bank Bumiputra dan kita kembangkannya ke segenap pelusuk negara. Melaluinya, kita bukan sahaja mengajar orang Melayu mengenal nilai sebenar wang tetapi tahu mengendalikan wang melalui institusi perbankan. Ia sukar ketika itu, bukan sahaja kerana sumber kita yang terbatas, tetapi ia menuntut perubahan minda dan ideologi orang Melayu. Alhamdulillah, kini hal-hal seperti ini tak menjadi isu besar lagi.
11. Melayu tak akan ke mana kalau sepanjang masa kita terpaksa mengucapkan kata-kata menghapuskan kemiskinan di kalangan masyarakat kita. Kata-kata ini nampaknya tak berkesudahan. Bahkan orang akan melihat kemiskinan itu sudah menjadi tembok tempat orang Melayu berlindung untuk mendapat pelbagai keistimewaan. Benar, kemiskinan itu penyakit. Namun penyakit ini lebih banyak di hati bukannya di tubuh kita. Sekiranya kita percaya kemiskinan itu meletakkan kita hampir kepada kekufuran, tidak ada orang Melayu yang sanggup mengaku dia orang miskin. Orang Melayu yang kuat beragama Islam sudah pasti tak sanggup dilihat hampir menjadi kafir. Sepatutnya tidak ada orang Melayu yang meminta-minta kerana yang meminta-minta itu adalah tanda penyakit miskin yang tak patut dibanggakan. Sebagai penganut agama Islam, masyarakat Melayu sepatutnya menjadi masyarakat pemberi kerana dengan menjadi seorang pemberi sahaja ia lebih hampir kepada Tuhannya. Ajaran kita selalu mengingatkan, tangan yang memberi itu lebih baik dari tangan yang menerima. Amalan memberi sepatutnya menjadi asas utama kepada ibadat kita.
12. Mengubah cara berfikir yang membudaya dalam masyarakat kita ini bukan sekadar tugas seorang pendakwah yang boleh memberi tafsiran yang betul kepada ajaran Islam. Ia menuntut kepada perubahan watak keseluruhan orang Melayu itu sendiri. Perubahan watak tak akan berlaku dengan hanya memberi mereka kekayaan. Ramai yang sudah kaya tapi masih meminta-minta. Ramai yang sudah kaya tapi diperolehi melalui tipu muslihat untuk menambahkan kekayaan. Ramai yang menjadi kaya tetapi tak sanggup menjadi pemberi. Untuk menjadikan seorang yang dirinya kaya tidak sesukar untuk menjadikan seorang yang hatinya kaya. Ketika itu, ramai yang menjadi kaya serta merta kerana mendapat kawasan balak atau mendapat kontrak kerajaan. Selepas itu mereka meminta lagi. Setiap hari kita lahirkan orang yang dirinya kaya tetapi hatinya miskin.
13. Sebab itu agenda besar Tun Razak ketika itu mengubah budaya dan cara berfikir masyarakat kita. Katanya asas kemajuan negara ialah kepada pembinaan golongan kelas menengah yang besar. Mereka ini tidak semestinya seorang jutawan, tetapi golongan yang berpendidikan, profesional dan memiliki watak baru yang mampu bersaing, bersemangat untuk memberi dan boleh diketengahkan dalam apa jua suasana.
14. Pengambilan semula hasil minyak melalui penubuhan PETRONAS, atau ladang-ladang, atau lombong-lombong kita yang dikuasai oleh syarikat asing, di pertengahan tahun 70an, bukan sekadar manifestasi kepada semangat memerdekakan sektor ekonomi kita, tetapi lebih pada itu. Untuk mengendalikan semua sektor ini menuntut kita menyediakan pelbagai kepakaran dalam semua bidang. Kita mesti ada pelbagai jenis jurutera, pelbagai akauntan, pelbagai doktor, pelbagai pegawai pemasaran dan pelbagai pengurus. Kita memerlukan ramai orang yang tahu apa itu wang dan tahu menguruskannya dengan betul. Kita mesti ada pelbagai jenis kepten yang mampu mengemudikan pelbagai jenis kapal dalam negara kita. Mereka inilah yang memenuhi komposisi golongan kelas menengah kita yang diharapkan dapat mengubah budaya orang Melayu keseluruhannya.
15. Modus operandinya mudah. Kuncinya ialah pada pendidikan. Sejauh mana kita dapat mendidik dan melatih seberapa ramai anak-anak kita. Sejak itu kita mendengar pelbagai jenis biasiswa. Biasiswa kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, biasiswa PETRONAS, biasiswa Bank Bumiputra, biasiswa Bank Negara dan pelbagai lagi yang kita dengar ketika itu. Siapa yang mahu belajar, belajarlah setinggi mana dan pergilah ke mana yang mahu. Memberi pelajaran kepada orang Melayu adalah tuntutan Perjanjian Kemerdekaan yang menjadi asas perlembagaan kita hari ini.
16. Universiti dalam negeri tak cukup, tapi pastikan kualitinya terbaik. Mungkin kelengkapan ketika itu tak sebaik hari ini, namun golongan akademia lebih banyak diberi kebebasan dalam menentukan arah tujunya sendiri. Guru, pensyarah dan lebih-lebih lagi professor berada dalam kelasnya sendiri yang sentiasa disanjung tinggi. Kecemerlangan akademik dilihat saling seiring dengan kebebasan akademik itu sendiri. Pengaruh politik dalam akademik mesti ada hadnya. Ia sekadar untuk menjamin kestabilan dan tidak menyalahgunakan institusi murni. Benar, ada kawalan untuk mereka yang mengapi-apikan semangat perkauman sempit atau lain-lain unsur yang boleh menghancurkan negara, namun, peraturan yang ada tidak boleh dilihat untuk mempertahankan kuasa atau melindungi mereka yang menyalahgunakan kuasa. Lebih buruk sekiranya ia dibuat atas nama Melayu. Bahkan lebih buruk lagi sekiranya ia berlaku dalam institusi pengajian yang bergelar universiti. Menara yang dibuat dari gading mencerminkan kemurnian tertinggi dalam sesuatu negara. Ia lambang segala jenis idealisme yang perlu diterapkan dalam masyarakat dan budaya kita.
17. Pengaruh politik yang keterlaluan dalam pusat-pusat pengajian kita, akhirnya boleh menyebabkan nasib yang menimpa pasukan bola sepak kita akan menimpa intitusi pengajian kita. Kita mungkin juara kampung kerana melahirkan ramai anak-anak yang mendapat banyak A, tetapi terus kecil apabila bersaing dengan orang lain. Matlamat pendidikan Tun Razak untuk melahirkan kelas menengah yang berwatak besar tak akan kesampaian sekiranya graduan yang kita lahirkan masih bergantung kepada wakil-wakil rakyatnya untuk mendapat pekerjaan. Bagi anak-anak ini pula, ia tidaklah suatu yang menghairankan, sekiranya mereka turut melihat banyak jawatan penting di kalangan profesor merekapun, diperoleh melalui sokongan politik bukannya atas kecemerlangan akademik.
18. Inilah pandangan politik pemimpin di masa itu. Akibat peristiwa hitam selepas pilihanraya tahun 1969, kita melihat tahun 70an menuntut orang politik agar kurang berpolitik. Pandangan ini memungkinkan Barisan Nasional ditubuhkan. Gabungan Parti Perikatan dan lain-lain parti termasuk PAS, Gerakan dan parti-parti lain dari Sabah dan Sarawak untuk bekerjasama di bawah lambang yang sama memberi dimensi baru kepada keutamaan pemerintahan ketika itu. Mereka yang berkuasa tidak sensitif kalau hilang sedikit kuasa. Mereka yang menentang sanggup membenamkan gah masing-masing demi kepentingan nasional. Kesediaan berkongsi kuasa telah melahirkan sebuah kerajaan konsensus yang lebih besar dan padu. Sebab itulah ramai berpendapat, tempoh 6 tahun pemerintahan Tun Razak adalah tempoh paling penting dalam sejarah pembangunan negara. Tun Razak membuktikan bahawa pemimpin yang berjaya bukan pada rekod masa ia berada di tampuk pemerintahan, tatapi apa yang ditinggalkan dalam tempoh yang diberikan. Dalam tempoh tersebut PETRONAS ditubuhkan, Sime Darby dan London Tin diambil semula. FELDA yang menjadi tulang belakang kepada proses memberi tanah kepada orang Melayu dirancakkan. Kita melihat UDA, DARA dan pelbagai agensi pembangunan wilayah ditubuhkan. Semuanya untuk mengurangkan kemiskinan dan mengangkat martabat orang Melayu dalam masa yang singkat. Melayu diperbandarkan. Sekolah-sekolah sains, MRSM dan Universiti Kebangsaan yang menjadi simbol kepada kekuatan bahasa Melayu ditubuhkan. Tun Razak menjadi sumber inspirasi semua orang untuk berkerja dan berkorban kepada negara. Apalah kehebatan pembangunan hari ini, tanpa asas yang dibina oleh mereka yang terdahulu.
19. Dasar Ekonomi Baru adalah sebahagian daripada pakej ini. Ia bukan dilihat dari kacamata agenda Melayu yang sempit. Ia adalah agenda nasional yang lebih besar. Kesan dan hasilnya bukan hanya untuk orang Melayu sahaja tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia.
20. Walaupun dasar ini gagal mencapai matlamat sepenuhnya, tetapi ia telah memberi wajah baru kepada negara ini. Iaitu keyakinan rakyatnya bahawa, walaupun kita berbilang kaum, tetapi kecemburuan kaum tidak lagi diasaskan kepada pentakrifan ekonomi. Kita lebih bernasib baik. Dasar inilah yang melindungi kita dari terjebak kedalam perbalahan kaum sewaktu krisis kewangan tahun 1997 dahulu. Perbalahan ini berlaku di Indonesia, tapi tak berlaku di sini. Tanpa Dasar Ekonomi Baru (DEB), mungkin apa yang berlaku di tahun 1969 berulang lagi di negara kita.
21. Keyakinan inilah membolehkan kita menjaja keluar negara tentang model Malaysia sebagai sebuah negara yang dipandang harmoni. Lebih-lebih lagi hari ini, punca konflik dunia tidak lagi pada perbezaan ideologi, tetapi mengenai pertelagahan etnik, budaya dan tamaddun. Bahkan apa yang berlaku di bumi Palestin dan Iraq hari ini menunjukkan mereka yang memiliki persamaan etnik, agama, bahasa, budaya dan tamaddunpun turut berbalah dan berbunuhan antara satu sama lain.
22. Sekarang, orang memandang tinggi negara yang bernama Malaysia. Ciri-ciri masyarakat pemberi semakin timbul pada hari ini. Di samping kerajaan, kita melihat banyak kumpulan-kumpulan bukan kerajaan yang bergerak di dalam dan di luar negara memberi sumbangan dalam pelbagai kerja kebajikan di tempat-tempat yang memerlukan. Ramai yang melihat dan menganggap kita sebagai rakyat yang bernasib baik. Perkataan nasib mungkin dikaitkan dengan soal kebetulan. Saya kata ia bukan kebetulan, kerana untuk mendapat apa yang dicapai sekarang menuntut kepada suatu perjuangan yang pahit kerana ia telah melalui jalan yang amat sukar.
23. Apa yang dinikmati ini, sepatutnya dihargai bersama. Bukan hanya orang Melayu tetapi semua kaum. Hari ini kita dipandang harmoni, tetapi ia boleh musnah begitu sahaja kalau kita tidak mempertingkatkan keharmonian ini dalam erti kata yang sebenar. Melayu yang dilihat mendapat sedikit kemudahan perlu sedar, perlindungan yang ada pada mereka hanyalah sekadar jaring keselamatan agar tak jatuh tersembam dalam perjalanan kehidupan ini. Untuk maju, mereka tak boleh bergantung kepada jaring itu selama-lamanya. Mereka mesti ke depan mengatur langkah sendiri untuk naik setinggi-tingginya menyahut cabaran global. Hambatan global melalui AFTA, WTO dan pelbagai perjanjian perdagangan bebas semakin menuntut kerajaan mempercepatkan proses agar orang Melayu semakin kurang kebergantungannya.
24. Bukan Melayu pula tidak boleh melihat sedikit perlindungan yang diperolehi Melayu ketika ini sebagai alasan untuk memandang rendah bangsa pribumi ini. Sebaliknya mereka mesti turut membantu agar Ekonomi orang Melayu cepat mencapai kedudukan yang setaraf dengan mereka. Sosial kontrak yang dipersetujui bersama oleh mereka yang mengasaskan negara ini, mesti dihormati. Ia berkaitan dengan pengorbanan satu kaum untuk menerima kaum lain menjadi sebahagian daripada anggota keluarga mereka yang besar. Tanpa menghortmatinya tak mungkin keamanan yang dinikmati bersama ini dapat dikekalkan selama-lamanya. Kita mesti akui keamanan tak akan tercapai tanpa keadilan sosial. Keadilan sosial banyak dilihat dari sudut pengagihan ekonomi. Sekiranya pengagihan ekonomi di negara ini dilihat tidak merata, ada pihak yang merasakan ketidakadilan berlaku. Mereka yang rasa diri mereka tidak ada tempat dalam kemajuan yang dicapai akan mengambil langkah pendek yang boleh meruntuhkan segala-galanya. Bagi mereka, tidak ada apa yang rugi, kerana mereka tidak memiliki apa-apa. Sebab itulah kaum bukan Melayu mesti melihat perkara ini secara terbuka untuk menjadikan negara ini terus dapat didiami bersama dan dinikmati bersama. Saya amat ingin melihat suatu masa nanti perpaduan yang tulin dapat diwujudkan. Bukan hanya peringkat luaran. Kita mahu Melayu, China, India dan lain-lain seiring sejalan kerana mereka setaraf dan saling memerlukan antara satu sama lain. Mereka saling berjiran, mereka adalah teman sepekerjaan, mereka pergi ke kelab yang sama, dan mereka saling bermesyuarat bagaimana memperbaiki masyarakat mereka bersama.
25. Tuntutan orang Melayu hari ini tidak pernah keterlaluan. Orang Melayu itu sendiri adalah kaum yang sangat akomodatif sifatnya. Mereka tak keluar dari negara mereka secara beramai-ramai. Kalaupun ada yang berhijrah mereka tak menuntut negara yang mereka duduki dengan pelbagai tuntutan agar orang di negara itu mengikut selera orang Melayu. Sebaliknya mereka akan mensesuaikan diri mereka dengan suasana setempat. Kita tidak mendengar mereka menuntut bahasa Melayu setaraf dengan bahasa rasmi negara itu, mereka tak tuntut supaya diberikan tanah yang luas. Kita tak mendengar orang Melayu di sana menuntut supaya diadakan sekolah-sekolah Melayu dan agama dibenarkan wujud di negara-negara yang mereka pergi.
26. Di Malaysia pun apa yang orang Melayu cuba pertahankan amat sederhana sekali. Agamanya, bahasanya, hormat orang pada raja-rajanya dan simbol-simbol yang dikaitkan dengan maruah orang Melayu itu. Banyak perkara ini bersifat sejarah, dan kecintaan kita dalam mengekalkan tradisi yang diamalkan oleh rakyat negara ini sejak turun temurun. Mempertikaikan hal-hal seperti ini amat menyentuh emosi dan sentimen kebanyakan orang kita. Mengekalkan hal-hal yang berkaitan tradisi seperti itu bukanlah ciri-ciri sebuah masyarakat mundur dan tidak terbuka. Orang di Britain dan Jepun pun begitu. Banyak perkara yang dipertahankan mungkin tidak banyak rasionalnya, tetapi banyak juga yang mempertahankan hak bangsa mereka ke atas tanah dan sumber negara sebagai lambang nasionalisme masing-masing.
27. Dalam konteks Malaysia, sejarah kemerdekaan kita adalah sejarah orang Melayu bangkit mempertahankan hak dan maruah bangsa mereka. Inilah sejarah nasionalisme Melayu. Tanpa semangat nasionalisme Melayu ini, mungkin kemerdekaan yang dinikmati hari ini tak tercapai. Nikmat ini bukan hanya untuk orang Melayu sahaja tetapi juga untuk orang bukan Melayu. Ini sejarah. Atas fakta ini orang Melayu sentiasa berasa ia lebih berhak dalam menentukan apakah itu pentakrifan negara bangsa yang nak diwujudkan. Sekiranya kita bersetuju dengan konsep bangsa Malaysia, orang Melayu sudah tentu mahukan bangsa Malaysia itu berteraskan bangsa Melayu. Ini termasuk pada budayanya, bahasanya dan adat resamnya. Ini juga termasuk hak mereka untuk dilihat tidak ketinggalan dalam semua lapangan ekonomi dan sosial. Seharusnya soal ini tidak patut dipertikaikan sekarang.
28. Sepertimana orang tidak mempertikaikan teras “Anglo-Saxon” dalam pentakrifan bangsa Amerika Syarikat dan Australia, sepatutnya orang tidak pertikaikan teras Melayu dalam pembinaan bangsa Malaysia. Tidak ada yang pertikaikan nama bahasa Inggeris atau English yang digunakan di Amerika Syarikat atau Australia, tetapi orang pertikaikan nama bahasa Melayu bagi bahasa kebangsaan kita sehingga kita menamakannya semula sebagai bahasa Malaysia. Walhal English juga hanyalah bahasa orang England, iaitu satu wilayah di Great Britain. Rakyat Amerika atau Australia tidak menuntut supaya bahasa yang sudah banyak diubahsuai di negara mereka ditukar namanya kepada “American language” atau “Australian language”. Ia tetap “English” kerana ia hanya untuk mencerminkan bahasa asalnya. Ia tetap dituturkan oleh semua rakyat negara itu, tanpa mengira keturunan. Samada di upacara rasmi atau tidak rasmi. Masing-masing akur kepada sejarah. Masing-masing menghormati tradisi. Bahkan tak ada yang mempertikai versi ajaran Kristian yang digunakan dalam banyak acara kenegaraan, mahkamah, ketenteraan dan pendidikan utama mereka. Mereka menghormatinya kerana ini adalah sebahagian kontrak sosial yang mereka terima dalam sejarah.
29. Kalau di negara tersebut rakyatnya boleh menerima pentakrifan bangsa berteraskan ciri-ciri “Anglo-Saxon” kenapa ramai yang masih menolak faktor Melayu dalam pentakrifan bangsa kita. Kenapa isu samada kita sebagai negara sekular atau tidak, masih dipertikaikan di saat kita sudah lama meletakkan perkataan Islam sebagai Agama Persekutuan di dalam perlembagaan kita?
30. Kesemua ini menuntut semua pihak lebih berlapang dada. Membangkitkan soal-soal yang menyentuh sentimen dan emosi sesuatu kaum akan merugikan semua. Sekiranya hubungan kaum kita tergugat, apa jua pencapaian kita dalam bidang ekonomi dan lain-lain bidang kemajuan tidak berguna.
31. Saya percaya, universiti ini, khususnya Akademi Pengajian Melayu, akan lebih aktif dan memimpin semua usaha ke arah mengukuhkan pemahaman semua pihak mengenai teras kenegaraan kita. Menguatkan bahasa, budaya dan amalan tradisi kita tidak seharusnya sekali lagi dilihat sebagai agenda Melayu semata-mata. Ia adalah agenda nasional yang mesti dihayati semua pihak. Sekiranya Jabatan Pengajian Melayu di Universti Beijing mampu melahirkan ramai pelajar China yang menghayati bahasa dan budaya Melayu, amat malang sekiranya Jabatan seperti ini di Malaysia tak mampu berbuat demikian. Saya yakin di bawah kepimpinan saudara-saudari di sini, soal seperti ini bukanlah sukar untuk diatasi. Saya percaya dengan sokongan semua pihak. Akademi ini bukan sahaja menjadi pemangkin kepada penghayatan Melayu sebagai teras pembinaan bangsa Malaysia, tetapi ia sebagai penjana kepada perubahan berfikir dan budaya orang Melayu untuk mampu berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain di dunia. Saya percaya sebuah kerajaan yang berteraskan parti orang Melayu, institusi seperti ini mesti dimartabatkan sebaik mungkin.
32. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sudi memberi penghormatan seperti ini kepada saya. Semoga Syarahan Za’ba akan terus di hati sepanjang masa. Saya ucapkan terima kasih di atas kesediaan hadirin sekalian mendengar ucapan saya. Semoga Allah memberkati kita sekalian dan menyatukan hati-hati kita untuk menjadi ummat yang bermaruah dan bermartabat.
33. Sekian, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

No comments:
Post a Comment