Saturday, January 26, 2008

Ku Li bidas kerajaan Pas rampas tanah Felcra - Berita Harian 26 Jan 08

GUA MUSANG: Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah (gambar), berkata kerajaan Pas tidak sepatutnya mengambil kembali tanah seluas 1,400 hektar yang sudah dimajukan Felcra sejak 20 tahun lalu di sini.

Katanya, sebelum ini kerajaan negeri menggalak dan memberikan persetujuan kepada agensi itu membangunkan tanah berkenaan, katanya.

Penyerahan tanah itu membabitkan empat kawasan iaitu ladang Panggung Lalat 1, 3 dan 4 di sini yang diusahakan dengan tanaman getah dan ladang Gual Tambun di Rantau Panjang yang ditanam dengan kelapa sawit.



Rancangan tanah itu sudah dimajukan oleh sebuah agensi kerajaan Pusat tetapi dengan senang kerajaan Pas merampas balik tanah itu tanpa sebab hingga agensi berkenaan kehilangan hasil RM24 juta setahun, kata Tengku Razaleigh kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dengan Jentera Peti Undi di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh Dua, di sini, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat negeri, Datuk Husam Musa baru-baru ini, berkata tanah yang diusahakan Felcra itu adalah milik kerajaan negeri dan agensi berkenaan turut bersetuju membayar RM5.9 juta kepada kerajaan negeri sebagai ganjaran.

Beliau berkata, tanah ladang itu akan memberi pendapatan kira-kira RM900,000 sebulan kepada kerajaan negeri.

Tengku Razaleigh berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) pernah menebus semula tanah yang digadai kerajaan Pas seluas 140,000 hektar di Hulu Kelantan, kepada sebuah syarikat asing pada era 70-an.

Penebusan semula tanah sejumlah RM3 juta itu, membolehkan kerajaan BN membuka rancangan pembangunan tanah secara besar-besaran seperti Felda dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang memberi faedah besar kepada rakyat Kelantan sekarang ini, katanya. - Bernama

No comments: