Wednesday, May 7, 2008

HALA TUJU UMNO SELEPAS PILIHAN RAYA UMUM KE-12

HALA TUJU UMNO SELEPAS PILIHAN RAYA UMUM KE-12
Ucapan Y.B.M. Tengku Razaleigh Hamzah, Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Kelantan, di Majlis Anjuran Cawangan-cawangan Umno Sekitar Subang Jaya, Selangor, bertempat di Holiday Villa, Subang Jaya, Selangor pada hari Sabtu, 26hb April, 2008, bersamaan 19hb Rabiulakhir, 1429, jam 2.30 ptg
TERLEBIH dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana sudi mengundang saya untuk menyampaikan ucapan di Majlis ini.

Pada ketika Umno sedang menghadapi pelbagai ujian dan cabaran baharu, terutama dalam menghadapi cabaran kuasa demokrasi rakyat di negara pelbagai kaum ini, eloklah kita semua merenung semula tentang dasar dan tradisi Umno dan amalan ahli-ahli Umno dari semua peringkat dengan fikiran dan hati yang terbuka dan bebas daripada sebarang tekanan dan kekangan daripada mana-mana pihak, baik dari dalam UMNO mahupun dari luar, supaya dengan demikian kita dapat mengetahui secara objektif, jelas dan terang apakah sebenarnya masalah dan kelemahan yang ada pada diri kita dan pada Umno selama ini, sehinggakan dalam Pilihan Raya Umum ke-12, nampak jelas pada kita tanda-tanda bahawa rakyat daripada semua kaum, tidak sahaja dari kaum bukan Melayu, tetapi lebih-lebih lagi dari kalangan orang Melayu semacam menolak Barisan Nasional dan Umno. Walaupun Barisan Nasional dan rakan kongsi utamanya UMNO masih menang atau masih dapat bertahan memerintah negara, namun mandat yang diberikan oleh rakyat kepada kita tidak semantap dan sekukuh yang mereka berikan dalam Pilihan Raya Umum ke-11 dalam tahun 2004. Kekuatan kita menurun secara mendadak apabila BN kehilangan majoriti 2/3 dalam Parlimen dan kehilangan empat negeri, iaitu Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor, selain gagal menggantikan PAS di Kelantan. Di Wilayah Persekutuan pula, BN hanya mampu memenangi tiga kerusi. Yang penting juga kita prihatin, BN tidak lagi mendapat bilangan undi lebih dari 50% dari jumlah bilangan pengundi negara.

Biasanya, dalam sistem demokrasi, kerajaan yang tidak mendapat mandat yang besar dari rakyat selalu akan menghadapi masalah untuk memerintah dengan penuh keyakinan, berani dan tegas. Segala dasar, keputusan dan tindakan yang dibuat dan dirancangkan oleh kerajaan itu akan diteliti, dipantau, diperiksa, dipersoalkan dan dikritik dengan lebih berani dan lantang lagi oleh parti-parti pembangkang yang suaranya sudah bertambah besar dan kuat dalam Parlimen dan juga di luar Parlimen.

Barangkali itulah antara kehendak rakyat yang diluahkan melalui Pilihan Raya Umum ke-12. Mereka mahukan sistem ‘check and balance’ yang lebih kukuh dan lebih ketara lagi diwujudkan di negara ini melalui demokrasi popular; mereka mahukan sistem pemantauan, kawalan dan pencegahan yang lebih kuat lagi dari wakil-wakil rakyat yang lebih banyak dari parti-parti pembangkang. Hal ini berlaku boleh jadi kerana kerajaan sendiri tidak mempunyai sistem ‘check and balance’ atau sistem ‘accountability’nya untuk mengawal prestasinya dari dalam, atau tidak mempunyai sistem yang bebas dan andal (‘credible’) untuk mendengar dan mengkaji maklum balas atau ‘feed-back’ yang negatif terhadap kerajaan. Seringkali parti yang melantik kerajaan itu tidak mempunyai kuasa untuk mencegah, menegur atau memantau dasar, keputusan dan tindakan kerajaan yang dianggap oleh anggota parti bertentangan dengan dasar dan matlamat parti itu. Umno, misalnya, tidak berkuasa, atau boleh jadi dilarang untuk menegur apatah lagi mendesak Perdana Menteri atau menteri dari Umno supaya mengubah keputusannya atau meletakkan jawatan sekiranya dia tidak menjalankan tugas dan amanat menurut dasar partinya sehingga kepentingan partinya dan kepentingan bangsa Melayu yang menyokong parti ini boleh tergugat. Sehingga ada orang Umno yang berkata, Siapakah yang salah jika rakyat marah atau membenci kerajaan: kerajaan atau Umno?

Sebagai contoh, kalau ketua kerajaan BN (yang diamanahkan oleh Umno) membuat keputusan yang boleh merosakkan darjat bahasa Melayu dalam sistem pelajaran kebangsaan atau sebagai bahasa kemajuan di negara ini, apakah itu kehendak ketua kerajaan itu secara peribadi atau kehandak Umno? Kalau itu kehendak Umno, lain hallah.

Umno-lah yang turut bersalah kerana membiarkan ketua mereka membuat keputusan seperti itu.



Akibatnya, dalam Pilihan Raya Umum yang lepas, orang Melayu (yang tentu juga termasuk anggota UMNO akar umbi) menolak atau hampir-hampir menolak UMNO dan kerajaan yang didukungnya kerana tidak menghiraukan suara anggota parti dan suara bangsa Melayu yang tidak menjadi anggota Umno tetapi kuat semangat Melayunya – mungkin lebih kuat daripada semangat orang Umno itu sendiri.

Mesej yang patut kita faham dan sedari ialah, demokrasi di Malaysia sudah semakin matang dan maju. Rakyat, baik Melayu mahupun bukan Melayu, nampaknya semakin lebih celik politik – mereka semakin sangat menyedari betapa kuatnya ‘the ballot box’ atau peti undi sebagai kuasa untuk menentukan siapa dan parti manakah yang akan berkuasa di negara ini, atau untuk menolak calon yang mereka anggap sombong, bongkak, tidak bersih dan tidak jujur, pengampu ketua-ketua parti, atau tidak terlalu komited untuk memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat.

Saya melihat Pilihan Raya Umum Ke-12 itu sebagai ‘loceng kejutan’ atau ‘wake-up call’ kepada BN dan Umno, memberitahu kita supaya bangkit dari rasa selesa setelah memegang kuasa sekian lama tanpa menghadapi apa-apa cabaran yang serius dari kuasa rakyat sehingga kita tidak percaya bahawa rakyat akan menghukum kita. Kita seolah-olah percaya bahawa apa pun masalah yang dihadapi oleh rakyat mereka tidak ada pilihan lain melainkan terus memilih kerajaan atau parti yang sama, kalau mereka mahukan negara ini terus ‘maju, aman, makmur, sejahtera dan bersatu padu’, sebagaimana yang sering dilaung-laungkan oleh para pemimpin kerajaan. Kita juga sering memberitahu orang Melayu bahawa ‘Umno ialah Melayu dan Melayu ialah Umno’. Jadi, kita mahu seluruh bangsa Melayu bergantung pada Umno. Tetapi ini kalau Umno adalah parti yang cekap, bersih dan amanah, dan sangat kuat semangat Melayunya dan cukup komited untuk memperjuangkan dan mempertahankan hak-hak dan kepentingan Melayu. Tapi, kalau imej Umno tidak lagi begitu, tidak seperti dahulu kala, apakah bangsa Melayu hari ini mesti terus bergantung pada parti ini?

Ada beberapa isu yang bagi saya telah menimbulkan ketidakyakinan, kemarahan dan kebencian rakyat dari semua golongan dan peringkat terhadap kerajaan BN sejak mutakhir ini. Sama ada kita mahu mengakuinya atau tidak, sejak tahun 1980-an, kerajaan BN, dan parti Umno, dilihat oleh rakyat dari semua kaum sebagai kerajaan atau parti yang telah membiarkan atau menimbulkan pelbagai perkara yang tidak baik berlaku di negara ini dan di kalangan ‘orang atasan’ kerajaan dan parti mereka. Rakyat tentu terkejut mendengar kisah-kisah buruk yang berlaku dalam institusi kehakiman, di kalangan hakim yang boleh dipengaruhi oleh wang dan oleh peguam tertentu, sehingga keputusan mahkamah yang dibuat oleh hakim-hakim seperti itu tidak lagi kelihatan bebas dan adil kepada pihak yang menuduh dan yang dituduh. Kisah-kisah buruk itu didedahkan kepada Suruhanjaya yang ditubuhkan untuk menyiasat kes ‘Rakaman Video Lingam’. Banyak perkara lain lagi yang berlaku menjelang Pilihan Raya Umum Ke-12 yang menjejaskan imej kerajaan BN – imej yang terkumpul sejak lama, tetapi rakyat dan orang-orang yang perihatin dari kalangan profesional, pegawai kerajaan, dari dunia perniagaan dan dari pelabur-pelabur asing yang beroperasi di negara ini, dan dari parti-parti politik lain, tidak ada apa-apa tindakan serius diambil untuk membersihkan imej itu.

Akibatnya, kalau boleh saya ringkaskan dalam tiga atau empat perkataan sahaja: rakyat dari semua kaum marah, benci dan hilang keyakinan terhadap BN, dan khususnya terhadap Umno.

Dan kita jangan lupa, inilah peluang parti ‘Pakatan Rakyat’ yang terdiri dari gabungan parti PAS-PKR-DAP (walaupun kita boleh jadi melihatnya sebagai ‘gabungan’ yang ‘longgar’, tidak padu seperti BN, konon!) untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka boleh dan akan memerintah di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor dengan cekap, bersih, amanah dan lebih pro- atau mesra-rakyat’ dalam dasar pembangunan mereka, tidak membazirkan wang negara atau negeri, tidak melakukan rasuah atau membiarkan rasuah berlaku dan dilakukan oleh wakil-wakil rakyat mereka dan pegawai kerajaan di bawah pentadbiran mereka. Kalau prestasi mereka betul-betul ‘cekap, bersih, amanah dan mesra rakyat’ – dan saya percaya mereka akan berusaha kuat untuk membentuk imej ini – maka rakyat dari semua kaum tentu akan bertambah yakin terhadap mereka; di samping itu rakyat akan mendapat peluang untuk membandingkan ‘kecekapan, kebersihan, keamanahan dan kemesraan rakyat’ kerajaan BN sepanjang tempoh Parlimen yang ada sekarang.



Ini bererti bahawa BN dan Umno sekarang mempunyai penyaing dan pencabar yang kuat. Kalau selama ini BN (dan Umno) boleh ‘bercakap besar’ (maaf saya menggunakan istilah ini), sekarang mereka terpaksa berhati-hati. Umno tidak akan dapat menyaingi atau mengalahkan PAS dan PKR dan tidak akan dapat menarik minat dan keyakinan orang Melayu dan bukan Melayu yang celik politik jikalau parti ini tidak menunjukkan apa-apa kelebihan yang kononnya ‘cemerlang, gemilang dan terbilang’, berbanding dengan parti-parti lawan itu.

Bagaimanapun, saya tidak takut sangat terhadap parti-parti lawan itu. Belum tentu mereka lebih baik daripada BN atau Umno dari segi rekod pemerintahan. Kita tahu tidak semua calon mereka yang terpilih bagus-bagus dan handal-handal belaka. Mereka bergantung pada rakyat untuk terus mengekalkan kejayaan yang mereka perolehi dalam Pilihan Raya Umum Ke-12. Kita juga bergantung pada rakyat yang sama. Jadi, kita tidak perlu menumpukan perhatian terlalu banyak kepada parti-parti itu, berkonfrontasi dengan mereka, menghentam dan mengkritik mereka. Takut nanti kesannya akan memantul balik kepada kita. Yang penting ialah, kita tumpukan perhatian kepada usaha untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti kita dan kepada kerajaan dari parti kita dan untuk mencapai matlamat ini dalam tempoh 4 tahun akan datang, kita kena memperkuatkan parti dan budaya kita; diri kena memperbaiki kelemahan, kesilapan dan kesalahan kita; kita kena pastikan bahawa parti kita dipimpin oleh orang-orang yang cekap, jujur, bersih, amanah, kuat semangat kebangsaannya, bertanggungjawab kepada parti, tidak kepada orang atasan sahaja, berani dan tegas memperjuangkan dan mempertahankan hak-hak dan kepentingan bangsa Melayu, dan tidak kerap dan mudah sangat mengalah, berserah dan bertolak ansur terhadap kehendak orang lain, sehingga kera di hutan dan beruk-beruk di seberang jambatan dan laut disusui, anak kita dalam buaian mati kelaparan. Inilah sebabnya ada anggapan yang makin banyak orang Melayu yang dahulu menyokong Umno kini menolak Umno. Sebenarnya, yang mereka tolak bukan Umno, tetapi ialah pemimpin dan orang Umno yang tidak memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu dan negara secara jujur, amanah dan dengan penuh komitmen.


UMNO IALAH PARTI TERAS DALAM BN


Saya menganggap Umno sebagai parti teras dalam BN. Kita lahir dari perjuangan menentang gagasan Malayan Union penjajahan British, dan berikutan bantahan besar-besaran seluruh umat Melayu di Tanah Melayu (termasuk Singapura) menentang muslihat itu. Kerajaan British akhirnya tidak ada pilihan melainkan menyerahkan balik negeri ini kepada bangsa Melayu. Parti lain tidak terlibat dalam perjuangan itu kerana mereka belum wujud lagi dalam tahun 1946. Maka bagi saya berdasarkan rekod ini, saya berkata bahawa kuat Umno kuatlah BN dan kerajaan yang ditubuhkannya; lemah UMNO lemahlah BN dan kerajaannya. Suka tak suka dan sama ada rakyat dari semua kaum menyedarinya atau tidak, parti Perikatan dan kemudiannya BN yang dipimpin atau diterajui oleh orang Umno sebagai Pengerusinya dan sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri negara, banyak membawa kemajuan dalam semua bidang. Tetapi perkembangan selanjutnya merisaukan orang Melayu. Kalau orang bukan Melayu menganggap parti-parti komponen yang lain, khususnya MCA dan MIC, bergerak menurut kehendak Umno, orang Melayu (termasuk majoriti anggota akar umbi Umno) pula selalu risau dan gelisah melihat Umno sering bertolak ansur dengan kehendak orang bukan Melayu, terutama setiap kali menjelang Pilihan Raya Umum. Akibatnya, orang Melayu hari ini, selepas 50 tahun merdeka masih menghadapi banyak masalah. Dalam tahun 1955 Umno merupakan kuasa politik Melayu yang terkuat; hasil Pilihan Raya Umum pertama dalam tahun 1955 Umno mempunyai 33 orang ahli parlimen daripada 51 kerusi yang dimenangi oleh Parti Perikatan. Hari ini UMNO cuma mempunyai 78 orang ahli Parlimen daripada jumlah 222 kerusi.



Dalam bidang ekonomi, jelas bahawa orang Melayu makin lama makin jauh ketinggalan berbanding dengan kaum-kaum lain. Dasar Ekonomi Baru tidak berjaya mencapai matlamat 30% milik harta ekonomi negara untuk orang Melayu padahal kadar pertumbuhan ekonomi secara kumulatif, yakni saiz ekonomi negara sejak tahun 1980-an, telah meningkat lebih 60%.

Dalam bidang pendidikan orang Melayu juga makin ketitinggalan berbanding khususnya dengan pencapaian kaum Cina. Orang Melayu tidak mempunyai alternatif lain dalam bidang pendidikan kecuali bergantung pada Sekolah Kebangsaan yang kebanyakannya berada di luar bandar tempat hadirnya majoriti orang Melayu dan tidak sebaik sekolah kebangsaan yang berada di kawasan bandar. Kaum bukan Melayu mempunyai tiga pilihan: mereka boleh belajar di sekolah kebangsaan; mereka boleh pergi ke sekolah jenis-kebangsaan (aliran bahasa Cina dan aliran Tamil), dan kerana kedudukan ekonomi mereka baik, mereka boleh menghantar anak-anak mereka untuk melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi Swasta yang jumlahnya makin hari makin besar. Hanya tidak lebih 10% sahaja anak-anak Melayu yang menuntut di IPTS.

Orang Melayu juga risau melihat ‘tanah pusaka’ nenek moyang mereka makin lama makin hilang, jatuh ke tangan orang lain, kononnya demi pembangunan. Dan sejak mutakhir ini, orang Melayu bertambah risau apabila orang bukan Melayu dengan lantang dan tidak berhenti-henti mempersoalkan ‘hak warisan Melayu’ seperti institusi Raja Melayu, agama Islam dan ‘hak-hak istimewa’ Melayu.

Orang Melayu rata-rata melihat ini semua sebagai tanda kegagalan Umno atau kegagalan para pemimpin Melayu yang menguasai kerajaan untuk mempertahankan kepentingan Melayu itu demi perpaduan, demi kemajuan dan kesejahteraan kebangsaan (bukan demi kemajuan dan kesejahteraan satu-satu golongan etnik atau sektor masyarakat sahaja). Saya mulai mendengar banyak orang Melayu yang berkata: apa baiknya bagi orang Melayu dan masa depan anak cucu mereka jikalau mereka terus menyokong dan bergantung pada parti ini sahaja. Kalau kita dari Umno berkata: ‘Untung nasib bangsa Melayu bergantung pada UMNO’, slogan ini sudah ditafsirkan oleh orang Melayu sebagai bererti ‘Jatuh Umno jatuhlah bangsa Melayu’. Inilah kemungkinan yang sangat merisaukan orang Melayu hari ini. Mereka mencari-cari alternatif lain, dan nampaknya dalam Pilihan Raya Umum ke-12 mereka nekad untuk pergi ke PAS dan PKR. Mereka melihat atau mungkin menurut persepsi mereka bahawa para pemimpin PAS dan PKR lebih jujur, amanah, bersih dan adil daripada kebanyakan pemimpin BN atau Umno. Ini persepsi mereka. Kalau kita berkata bahawa itu bukan realitinya, maka kita dari Umno dan dari kerajaan BN perlu membuktikan dan memperlihatkan, bukan beretorik, bahawa persepsi itu salah pada hakikatnya. Orang tidak akan percaya dengan ‘cakap-cakap politik’ kita jikalau apa yang mereka lihat, dengar dan baca hari-hari adalah cerita sebaliknya.

Pada pandangan saya, kita sebenarnya sedang menghadapi krisis nilai dan kepimpinan. Dari segi visi dan misi asalnya Umno tidak salah dan masih relevan. Yang salah ialah kelemahan dan kesilapan kita, terutama pemimpin kita, melaksanakan visi asal itu. Kita terlalu berserah kepada keadaan dan tuntutan pihak-pihak yang tidak pernah merasakan semangat dan pahit getir mempertahankan Negeri Melayu ini daripada dicabut kedaulatan dan identitinya melalui muslihat Malayan Union British dahulu. Kita perlu melihat ke belakang dan mempelajari sejarahnya untuk membolehkan kita mencabar dan menguasai masa depan dengan semangat dan komitmen yang sama. Kita tidak boleh membiarkan keadaan menguasai minda kita dan mengubah visi asal kita. Strategi kita boleh berubah; cara kerja dan peraturan organisasi kita boleh berubah dan dalam keadaan tertentu perlu berubah dan diubahkan, tetapi semangat bangsa kita – semangat Melayu-Islam kita yang menunjangi perjuangan Umno, tidak boleh dijual beli, tidak boleh diubah-ubah untuk disesuaikan dengan keadaan yang sentiasa berubah dan tidak tetap, atau untuk disesuaikan dengan kehendak orang lain dan dunia lain.



Jangan lupa, semua bangsa yang maju dan kuat di dunia, sejak dahulu hingga hari ini, adalah bangsa yang sangat kuat berpegang kepada ‘roh’ dan ‘semangat’ bangsanya. Kaum Cina di Malaysia rata-rata maju kerana mereka mempunyai ‘semangat bangsa Cina’ yang kuat. Tetapi kita jangan keliru: ‘semangat bangsa’ tidak sama dengan ‘semangat perkauman’ atau ‘perasaan rasis’. Orang Melayu terkenal sebagai bangsa yang toleren dan tidak pernah bersikap rasis, seperti kaum Yahudi dan kebanyakan bangsa di Eropah. Ini sifat budaya dan semangat Melayu yang selama lebih 50 tahun sejak kemerdekaan telah terbukti menjadi aset penting dalam proses pembinaan negara Malaysia yang aman dan bersepadu. Ia tidak merugikan, malah menguntungkan, negara pelbagai etnik ini.


UMNO MESTI MENGEKALKAN SEMANGAT KEBANGSAAN UNTUK KEPENTINGAN NEGARA


Umno, walaupun ia adalah parti Melayu, mesti bergerak atas dasar kebangsaan, tidak atas dasar perkauman. Dasar kebangsaan bererti dasar untuk kepentingan negara, tidak untuk kepentingan etnik. Apabila Umno sejak tahun 1946 berjuang atas dasar mempertahankan tiga tiang tamadun kenegaraan bangsa Melayu, iaitu Agama Islam, Bahasa (dan budaya) Melayu, dan Tanah Air, itu tidak bererti bahawa ia berjuang untuk bangsa Melayu sahaja dan tidak untuk kepentingan negara seluruhnya – negara yang terdiri daripada rakyat pelbagai kaum, bahasa, budaya dan agama. Ini negeri atau tanah air semua rakyat Malaysia, jadi bukan hanya orang Melayu atau Umno sahaja yang harus mempertahankan tanah air ini tetapi semua rakyat, tidak kira kaum, dan semua parti politik, dan tidak hanya Umno, mempunyai tanggungjawab bersama untuk mempertahankan Tanah Air ini, iaitu Malaysia, daripada penjajahan – penjajahan yang kini boleh dilakukan melalui pelbagai cara dan muslihat, misalnya melalui perdagangan bebas, melalui pelaburan modal asing yang tidak dikawal secara politik dan moral, sehingga tanah pusaka nenek moyang kita, atau tanah pusaka negara ini, makin lama makin menjadi milik syarikat asing atau milik orang asing.

Saya menyebut hal ini untuk menunjukkan bahawa perjuangan Umno untuk mempertahankan Tanah Air ini tidak bererti mempertahankan tanah air Melayu tetapi mempertahankan negara, iaitu Malaysia, daripada sebarang bentuk penjajahan baharu. Maka semua parti politik di Malaysia hari ini, baik Umno, baik PAS, baik PKR dan DAP, wajib mempertahankan kedaulatan negara ini daripada pencerobohan ekonomi, budaya, politik dan ideologi kuasa-kuasa asing atau warganegara asing.

Begitu juga tentang soal dasar bahasa kebangsaan. Ini bukan dasar Melayu. Ini dasar negara – dasar untuk kepentingan semua kaum, tidak hanya kaum Melayu. Bahasa Melayu tidak lagi menjadi bahasa kebangsaan bangsa Melayu tetapi selepas merdeka ia sudah merupakan bahasa kebangsaan negara Malaysia, terlepas dari kaitannya dengan kepentingan bangsa Melayu. Kita sudah melihat bagaimana dasar ini telah berjaya menjadi alat kemajuan dalam bidang pendidikan, misalnya, tanpa meminggirkan mana-mana kaum, malah dasar ini tidak lagi menjadi isu politik setelah sekian lama ia dilaksanakan. Umpamanya/Bahkan, Professor Dr. Teo Kok Seong, berbangsa Cina dari Universiti Kebangsaan Malaysia, mengingatkan kita betapa pentingnya Bahasa Melayu dalam pembangunan negara dan mahukan pihak berkuasa meneliti semula penamaan Bank Pertanian dengan acronym Inggeris, sebagai AgroBank. Beliau mengesyorkan nama dalam Bahasa Melayu yang lebih tepat, BankTani! Masalahnya, sistem pendidikan kita sekarang masih cetek dan tidak menentu; tidak lengkap dan mantap untuk menyediakan penuntut kita untuk menghadapi dunia global yang semakin mencabar. Sistem pendidikan terlalu sangat di eksperimenkan mengikut selera Menteri berkenaan tanpa mengadakan penentuan yang menjangkau dengan teliti dan menyeluruh bagi menyediakan warga yang berkebolehan untuk menempuh cabaran global sekarang dan masa depan.



Umno mempertahankan agama Islam bukan kerana parti ini mahu menjadikan negara ini sebagai negara Islam. Perlembagaan cuma menetapkan bahawa ‘Islam ialah agama Persekutuan’. Jadi, ini bukan perjuangan anti kaum-kaum lain tetapi perjuangan untuk memastikan bahawa nilai-nilai agama ini yang sifatnya sejagat dan terdapat juga dalam agama-agama dan budaya lain, didikekalkan dan diamalkan, khusunya oleh orang Melayu yang beragama Islam. Dan kalau kerajaan yang ditunjangi oleh Umno mengamalkan nilai-nilai dan prinsip-prinsip Islam yang fundamental, yang sejagat sifatnya itu, saya percaya segala dasar negara ini tentunya adil kepada semua rakyat, tidak zalim kepada golongan miskin, tidak kira kaum; hakim-hakim Melayu Islam akan takut untuk menerima rasuah dan takut untuk membuat keputusan yang tidak adil dan berdosa, kerana apabila beriman, dia akan takut kepada Tuhan. Kerajaan yang cekap, bersih, bermanah dan adil dari segi pengurusan dan pengagihan kemudahan ekonomi dan sosial kepada rakyat tentulah akan disanjung dan disokong oleh semua rakyat, tidak kira kaum, agama dan budaya. Janganlah kita dikelirukan lagi dengan mana- mana pihak yang cuba mengkonsepkan agama Islam yang suci dan sudah cukup lengkap dan sesuai untuk semua keadaan dan zaman.

Saudara sekalian, saya menyebut hal-hal ini semua untuk menimbulkan soalan: apakah kita, khususnya para pemimpin Umno yang beragama Islam dan yang mewarisi perjuangan para pejuang kebangsaan Umno terdahulu, masih tetap berpegang kepada dasar-dasar asas atau dasar-dasar fundamental yang asal itu dan melaksanakan dasar-dasar itu berdasarkan nilai dan prinsip-prinsip tasawur Islamiah dan berpandu kepada kebijksanaan akal budi bangsa Melayu, yakni berdasarkan prinsip dan nilai keadilan, prinsip demokratik dan permuafakatan dalam urusan parti dan kerajaan, untuk memajukan keadaan ekonomi dan sosial negara berdasarkan paradigma pembangunan Islamiah-sejagat, iaitu prinsip wasatiah, pembangunan yang egalitariat dan berimbang.

Jadi, kalau BN dan khususnya Umno dan kerajaan BN yang ditunjangi oleh Umno mahu terus kekal dan relevan sebagai parti yang berpengaruh, sebagai ‘parti kebangsaan negara’, maka parti ini harus kembali kepada dasar-dasar fundalmentalnya yang asal yang sifat dan matlamatnya harus ‘dikebangsaankan’, yakni dilaksanakan untuk kepentingan negara, bererti untuk kepentingan semua kaum. Di sinilah, saya kira, Umno selama ini, terutama mulai tahun 1980-an, dilihat oleh kebanyakan orang Melayu, baik orang Melayu yang berpandangan konvervatif mahupun yang berpandangan ‘progresif dan liberal’ , sebagai parti yang tidak lagi secara serius dan komited mementingkan hak-hak Melayu sebagai asas kestabilan negara-bangsa Malaysia, tidak hanya sebagai hak warisan atau tradisional bangsa Melayu semata-mata. Mereka melihat beberapa contoh bagaimana dasar-dasar kebangsaan yang berteraskan sejarah dan keadaan sosiobudaya dan keadaan demografi negara ini akhirnya dirosakkan oleh pemimpin Umno sendiri setelah dasar-dasar itu mencapai kejayaannya yang hampir-hampir mantap, atau sebelum dasar itu sampai ke matlamat asalnya, lalu dibunuh di tengah jalan.

Malangnya, kerajaan BN/Umno sering tidak membenarkan atau tidak mahu mendengar suara-suara dari orang Melayu, dari NGO Melayu, yang mengkrtik atau cuba mengemukakan pandangan dan cadangan untuk kebaikan bangsa, kerajaan dan negara. Kadang-kadang mereka yang membantah itu dianggap ‘pengkhianat kepada bangsa’ atau ‘anti kemajuan bangsa Melayu’. Inilah salah satu kelemahan budaya-politik Umno sekarang. Jadi, NGO Melayu yang tidak sedikit jumlahnya – ada yang pro-kerajaan, tetapi kebanyakannya pro-bangsa Melayu – makin lama makin tidak aktif, tidak berani dan tidak berkesan lagi sebagai ‘suara alternatif’ bangsa Melayu. Mereka kehilangan ibu, tempat untuk merayu dan bernaung, seperti anak ayam kehilangan ibu, lalu mereka mencari ibu lain, ibu tiri; mereka menyokong perjuangan parti-parti lain, misalnya PAS, atau lebih ketara lagi, PKR.



Hari ini, apabila kelihatan parti Umno dan kerajaan BN tidak begitu kuat lagi, NGO Melayu yang takut-takut itu bangkit semula beramai-ramai untuk mengadakan pelbagai seminar dan forum secara besar-besaran membincangkan tentang ‘permuafakatan Melayu’ dan nasib bangsa Melayu selepas Pilihan Raya Umum ke-12 tanpa melibatkan soal parti politik. Maaf kalau saya katakan bahawa yang menimbulkan masalah Melayu dan memecah belahkan Melayu antara parti Melayu bukan rakyat Melayu, bukan NGO Melayu, tetapi ialah parti politik Melayu sendiri. Perpaduan dan agenda kaum Cina tidak dipecahkan atau disabotaj oleh parti-parti politik Cina, baik DAP mahupun MCA dan Gerakan. Parti politik Melayu lebih bersifat berkonfrontasi (‘confrontational’) terhadap parti Melayu yang lain. Tetapi parti-parti Cina, apabila berhadapan dengan kepentingan bersama kaum Cina dalam bidang apa pun, mereka berfikir dan bergerak secara ‘saling melengkapi’ atau ‘complementary’, tidak berkonfrontasi. UMNO dan parti-parti Melayu-Islam yang lain patut belajar daripada ‘politik’ kaum Cina itu. Mereka mempunyai Persatuan bukan kerajaan (NGO) yang besar, bersatu dan sangat berpengaruh di kalangan kaum Cina dan disegani, didengar dan ditakuti oleh parti-parti politik kaum Cina di Malaysia.

Sebaliknya, NGO Melayu selalu dimusuhi oleh kerajaan BN/Umno. Yang rugi bukan sahaja kerajaan dan Umno tetapi juga rakyat Melayu seluruhnya yang tidak mendapat peluang mendengar pandangan-pandangan alternatif yang boleh jadi lebih baik daripada pandangan rasmi kerajaan atau pandangan tradisional Umno. Seperti yang saya katakan tadi, NGO Melayu terpaksa mencari ‘ibu’ atau pendukung lain untuk menyuarakan pandangan mereka. Kerana inilah, orang Melayu yang kecewa atau ‘frustrated’ dengan keadaan orang Melayu yang tidak menentu di negara ini meluahkan pandangan dan isi fikiran mereka (ada yang sangat baik, tetapi ada juga yang agak picisan) melalui blog-blog dalam internet, dan makin ramai orang Melayu yang lebih suka membaca blog dan tidak lagi membaca surat khabar perdana yang mereka anggap dikawal oleh Umno/kerajaan.

Umno juga harus memprojekkan imejnya sebagai ‘parti kebangsaan negara’, maksudnya ia harus berjuang untuk kepentingan semua kaum tanpa menggadaikan hak-hak warisan Melayu seperti yang dimaktubkan dalam Perlembagaan. Seperti yang saya sebutkan tadi, hak-hak itu tidak menjejaskan kepentingan orang bukan Melayu dan bukan Islam, bahkan hak-hak itu menjadi aset negara yang dapat dimanfaatkan dalam pembangunan negara sebagai asas perpaduan negara.

Selain ini, kalau Umno mahu dilihat sebagai ‘parti kebangsaan negara’, mengatasi parti-parti lain yang asasnya bercorak kaum, maka Umno mesti mengatasi mereka: visi dan dasar dan matlamat UMNO hendaklah bercorak kebangsaan, yakni merentas sempadan dan kepentingan etnik, sehingga parti ini dapat juga disokong atau dipercayai oleh orang bukan Melayu. Saya menimbulkan soal ini kerana kita tidak mahu Umno dianggap oleh MCA, Gerakan dan MIC sebagai bebanan atau liabiliti kepada BN. Dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, salah satu kempen yang digunakan oleh DAP ialah, menyebarkan slogan yang berbunyi (dalam bahasa Inggeris): ‘A Vote to MCA ia a vote to UMNO’. DAP seolah-olah menganggap bahawa MCA ialah alat Umno. Tetapi apa pun maksud DAP itu, kesan slogan mereka cukup mempengaruhi pengundi Cina yang selama ini menjadi penyokong MCA atau BN. Boleh jadi slogan DAP itu berbau perkauman atau anti-Umno.

Saya telah sebutkan tadi, fokus BN atau Umno ialah terhadap rakyat, bukan terhadap parti-parti lawan. Rakyatlah yang perlu ditarik semula ke BN/UMNO dan ini dapat dilakukan sekiranya BN/Umno dapat menawarkan pakej pembangunan yang dapat memenuhi keperluan asas rakyat semua kaum dari segi pemberian dan pengagihan kemudahan ekonomi, pendidikan dan sosial. BN atau Umno kadang-kadang dipersepsi sebagai parti yang lebih menguntungkan para tauke, golongan kaya, golongan korporat, wakil rakyat dan sebagainya, tidak sebagai parti yang boleh menyelesaikan masalah rakyat bawahan, rakyat miskin. Persepsi ini boleh jadi betul boleh jadi salah. Tetapi BN/Umno perlu berbuat sesuatu yang lebih jelas dan tegas untuk menghapuskan imej ini di kalangan rakyat.




PERUBAHAN DALAMAN


Kekuatan Umno harus bermula dari dalam, tidak sahaja dari dalam diri orang Umno tetapi tidak kurang penting dari dalam organisasi parti ini sendiri. Umno perlu memeriksa semula sistem dan peraturan organisasinya: mana-mana sistem atau peraturan yang baik dan tahan cabaran dikekalkan, mana-mana yang tidak baik, yang boleh melemahkan dan merosakkan Umno, perlu diubah dan digantikan dengan peraturan yang lebih baik dan dinamik. Perubahan-perubahan dalaman yang saya maksudkan ialah perubahan yang fundamental, yang substansial, bukan perubahan kosmetik dan ‘superficial’ sahaja.

Salah satu perubahan fundamental yang perlu dilakukan ialah, perubahan yang dapat mengembalikan demokrasi dalam Umno. Segala peraturan yang boleh menyekat kebebasan anggota Umno untuk memilih pemimpin yang baik dan menolak pemimpin yang lemah, hendaklah kita ubah segera sebelum Umno menjadi mangsa peraturan itu.


KEPIMPINAN UMNO MESTI BERTANGGUNGJAWAB KEPADA UMNO


Ada orang yang berpendapat bahawa imej Umno seringkali cacat kerana dasar dan tindakan yang dilakukan oleh kerajaan bertentangan dengan visi asal Umno. Untuk memastikan supaya masalah ini tidak timbul lagi di masa akan datang, kita mesti mempunyai dasar, sistem dan peraturan yang tegas dan jelas tentang hubungan antara Umno atau BN dengan kerajaan yang dikuasai oleh orang-orang dari parti ini, bukan dari parti-parti lain. Kerajaan mesti melaksanan dasar parti, bukan dasar peribadi Perdana Menteri dan menteri-menteri. Strategi dan cara pelaksanaan boleh berubah-berubah tetapi matlamatnya ialah untuk mencapai visi dan dasar yang telahg ditetapkan oleh parti. Pendek kata, kerajaan yang dilantik oleh BN/Umno tidak boleh melakukan apa-apa sesuka hatinya, atau menurut kehendak ‘dunia luar’ atau dunia perniagaan dan sebagainya. Dasar parti ialah dasar untuk kepentingan bangsa dan negara, tidak untuk kepentingan bangsa dan negara lain. Jika kerajaan menyeleweng dari dasar ini maka parti berhak mencegahnya.

Jadi, jikalau Umno mahu terus kekal dan relevan sebagai ‘parti kebangsaan Melayu’ dalam erti kata yang sebenar-benarnya dan kekal juga sebagai ‘parti kebangsaan negara’ yang diyakini, dihormati dan disokong oleh semua kaum, kita kena melakukan tiga perkara penting:

Pertama

Umno mesti mengekalkan semangat kebangsaannya untuk kepentingan negara, di samping tidak menggadaikan semangat dan roh Melayu-Islamnya.

Kedua

Umno mesti memperkuatkan sistem dalamannya, sistem organisasinya atau peraturan-peraturan organisasinya agar tidak menyekat potensi parti ini untuk mencabar dan menguasai keadaan yang berlaku di luar secara inovatif, dinamik, proaktif dan kreatif, dan tidak hanya secara reaktif, menyerah atau berserah.

Ketiga

Umno mesti memastikan bahawa mutu kepimpinan parti ini, dari peringkat tertinggi hingga ke peringkat bahagian dan cawangan, adalah tinggi, tidak lemah semangat, tidak lemah budaya, moral dan akhlak, tidak menjadi mangsa ekonomi pasaran bebas dan melakukan rasuah, sama ada untuk memperkayakan diri sendiri, sanak saudara dan sahabat handai, atau untuk digunakan sebagai alat untuk mengekalkan kuasa dalam parti. Bahkan anggota akar umbi parti ini juga harus sentiasa dididik supaya menjadi anggota yang baik, berdisiplin, cerdik dan pandai menjaga maruah bangsanya dan partinya.

No comments: