Sunday, May 4, 2008

"Orang Melayu mula risau" Ku Li

Oleh Bernama
Isnin, 05 Mei 2008
BATU PAHAT: Orang Melayu kini berada dalam kerisauan tentang kedudukan masa depan mereka dan anak-anak mereka berikutan keputusan pilihan raya umum lepas yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) kehilangan lima negeri kepada parti pembangkang, kata Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau berkata orang Melayu yang menemuinya telah menyuarakan kerisauan dan ketakutan mereka tentang masa depan mereka dan bangsa berikutan landskap politik negara selepas pilihan raya umum baru-baru ini kerana lima buah negeri yang dahulunya dikuasai BN kini jatuh kepada pembangkang.

Beliau berkata demikian pada majlis ceramah dan dialog bertajuk "Mengembalikan Kerelevanan Umno Di Hati Umat Melayu" anjuran Pemuda dan Wanita Umno Cawangan Bandar Bahagian Batu Pahat di sini, hari Ahad.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang berkata selepas kejayaan memenangi Selangor, Perak, Pulau Pinang serta Kedah dan mempertahankan Kelantan, pembangkang akan memperhebatkan "serangan" untuk menguasai lebih banyak negeri pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau juga memberi amaran bahawa pembangkang akan menyerang habis-habisan Johor yang merupakan kubu kuat kepada Umno dan BN pada pilihan raya umum ke-13, selepas kejayaannya menawan beberapa buah kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen di Johor kali ini.

Pada pilihan raya umum lepas, BN kehilangan empat kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen kepada pembangkang di Johor.

"Jagalah Negeri Johor ini kerana ia (Johor) akan diserang habis-habisan oleh lawan pada pilihan raya akan datang. PAS telahpun menembusi kubu kuat orang Melayu ini dengan menang dua buah kerusi DUN (Sungai Abong dan Maharani)," katanya.

Tengku Razaleigh berkata kekalahan BN terutamanya di tiga buah negeri yang disifatkan sebagai "kaya" seperti Pulau Pinang, Selangor dan Perak akan turut memberikan kesan terhadap keseluruhan pentadbiran kerajaan pusat.

Pakatan Rakyat, kata ahli politik veteran Umno itu, yang kini berkuasa di lima buah negeri akan cuba memalukan Umno dan BN menerusi siri pendedahan tentang kesilapan yang dilakukan sebelum ini oleh kerajaan negeri yang diketuai oleh BN.

Katanya kerajaan negeri terlibat yang kini dikuasai pembangkang sedang berusaha untuk mencungkil dan menggali segala kesilapan yang dilakukan oleh para pemimpin kerajaan negeri BN terdahulu.

Bagaimanapun, kata Tengku Razaleigh, Umno mempunyai cara tersendiri untuk menghadapi tindakan oleh parti pembangkang itu.

No comments: