Monday, May 5, 2008

Ku Li ronda tarik sokongan

Ku Li ronda tarik sokongan
BATU PAHAT 4 Mei - Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah akan menjelajah ke seluruh negara bagi merayu ahli parti menyokongnya bertanding jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti Disember ini.

Menurutnya, beliau menerima banyak jemputan dari seluruh negara termasuk Sabah untuk memberi ceramah.

Beliau berkata, antara jemputan yang telah diterima setakat ini adalah dari Muar, Sungai Petani, Alor Star, Pahang dan Sabah.

"Saya sedang mengaturkan jadual untuk memenuhi semua undangan. Ia adalah petanda baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis Ceramah Perdana dan Dialog, Mengembalikan Kerelevanan UMNO di Hati Umat Melayu anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Bandar di sini hari ini.

Seramai 150 tetamu termasuk bekas pemimpin Semangat 46, Datin Paduka Marina Yusof dan Setiausaha Politik Menteri Penerangan, Dr. Junaidi Abdul Wahab hadir pada majlis tersebut.

Tengku Razaleigh berkata, pihaknya tidak boleh memaksa mana-mana cawangan atau bahagian UMNO untuk mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) kerana ia menjadi hak masing-masing.

Katanya, cuma jika EGM tidak diadakan bermakna UMNO tidak boleh melaksanakan sebarang pindaan termasuk menghapuskan kuota untuk bertanding Presiden, Timbalan Presiden dan Ketua Bahagian.

"Nampaknya ada pihak tidak bersetuju dengan cadangan ini dan saya memang rasa kecewa kerana ahli UMNO tidak diberi ruang untuk melakukan perkara yang baik,'' katanya ketika diminta mengulas mengenai pembatalan EGM Bahagian Pasir Mas.

Terdahulu dalam ceramahnya Tengku Razaleigh mengulangi kenyataannya bahawa beliau hanya sekadar ingin menawarkan diri bertanding untuk berkhidmat kepada parti.

Jadi katanya, jika cukup pencalonan, beliau akan menawarkan diri untuk merebut jawatan itu.

"Banyak orang kata saya nak lawan tetapi sebenarnya saya menawarkan diri untuk memberi khidmat,'' ujarnya.

No comments: