Monday, May 5, 2008

Ku Li dakwa ahli dihalang hadir ceramahnya

May 5, 08 2:05pm
Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata beliau mendapat maklumat bahawa ada ahli Umno diugut supaya tidak menghadiri ceramahnya di Batu Pahat petang semalam dan di Muar malam tadi.

Katanya beliau menerima aduan dari penganjur ceramahnya, iaitu Pemuda Umno Cawangan Bandar dalam Bahagian Batu Pahat, dan ahli jawatankuasa Umno Bahagian Muar.

"Ketua-ketua cawangan yang dijemput telah diminta supaya tidak hadir dalam perjumpaan itu dan ada sesetengahnya menerima ugutan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah "Ke Mana Umno dan Orang Melayu Selepas Pilihanraya Umum ke-12", di sebuah hotel di Muar malam tadi.

Seramai 500 orang termasuk ahli jawatankuasa Umno bahagian-bahagian Ledang, Muar, Bakri dan Pagoh hadir, demikian menurut laporan Bernama.

Tengku Razaleigh berkata kejadian seumpama itu tidak sepatutnya berlaku kerana ceramah itu bukan perjumpaan haram.

Beliau tidak menolak kemungkinan perkara itu berlaku ekoran hasratnya untuk bertanding merebut jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti Disember ini.

No comments: