Friday, April 4, 2008

Kembalikan kuasa kepada ahli...

Saturday, 05 April 2008
(Malaysiakini) - Persidangan Perwakilan Khas Umno Gua Musang hari ini mencadangkan 11 pindaan perlembagaan Umno dan memperkenalkan empat fasal baru, untuk mengembalikan kuasa kepada ahli-ahli khususnya dalam pemilihan pucuk pimpinan parti orang Melayu itu.

Ia termasuk cadangan supaya pemilihan Majlis Tertinggi (MT), pucuk pimpinan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno, dibuat oleh ahli-ahli dan bukan lagi melalui perhimpunan agung Umno.

Manakala pengerusi dan timbalan pengerusi badan perhubungan negeri pula dipilih oleh tiap-tiap anggota jawatankuasa bahagian.

Ia juga mencadang ditambah jumlah ahli MT yang dipilih - dari pada 25 kepada 35 orang.

Umno Gua Musang mahu Fasal 9.5 yang membabitkan kuota pencalonan untuk jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden dan ahli MT dipinda.

Ia juga mencadangkan enam perkara - Fasal 10.3, 14.5.1, 14.5.4, 15,13.1, 15.5 dan 15.5.7 dimansuhkan terus.

Empat fasal baru yang dicadangkan ialah 8.3.5, 10.1A, 17.5.9 dan 18.12.12.

Perhimpunan agung khas

Bahagian itu juga meluluskan resolusi menggesa pucuk pimpinan parti mengadakan perhimpunan agung khas pada 11 Mei atau sebarang tarikh yang sesuai untuk membincangkan prestasi buruk Umno dalam pilihanraya umum lalu.

Cadangan pindaan tersebut, antaranya, mewujudkan fasal baru dalam fasal 8 (8.3.5) iaitu memilih sebuah Jawatankuasa Pemilihan yang bebas, mengandungi 21 orang ahli yang tidak mempunyai sebarang kepentingan dalam mana-mana jawatan dalam parti dan berkuasa memilih pengerusi dan timbalan pengerusi mereka sendiri.

Jawatankuasa juga berkuasa serta bertanggungjawab mengurus dan mengendali pencalonan-pencalonan dan pemilihan-pemilihan semua jawatan menurut kehendak Perlembagaan serta berkuasa menentukan cara-cara menjalankan kerja-kerjanya untuk menyempurnakan tanggungjawab ini.

Bahagian itu juga mencadangkan pindaan berkaitan dengan pemilihan ahli MT, dengan memansuhkan Fasal 9.2.7. Pada masa ini, Fasal itu memperuntukkan tidak lebih 25 orang ahli MT dipilih dalam perhimpunan agung.

Pindaan yang dicadangkan oleh Gua Musang ialah menambah bilangan ahli MT kepada 35 orang yang dipilih oleh ahli-ahli.

Ia juga mencadangkan meminta Fasal 9.3 yang kini berbunyi: Presiden, timbalan presiden, tiga naib presiden dan 25 ahli MT dipilih oleh perhimpunan agung setiap 3 tahun sekali, dimansuh dan digantikan dengan: Presiden, timbalan presiden, tiga naib presiden dan 35 ahli MT hendaklah dipilih oleh ahli parti setiap tiga tahun sekali.

Turut dicadang untuk pindaan ialah Fasal 9.4 supaya ketua dan naib ketua Pemuda, ketua dan naib ketua Wanita, ketua dan naib ketua Puteri dipilih oleh ahli masing-masing setiap tiga tahun sekali, dan bukanlah dalam perhimpunan agung seperti sekarang.

Ketua-ketua Pemuda, Wanita dan Puteri mempunyai hak-hak dan kuasa-kuasa naib presiden.

Bahagian itu juga mencadangkan supaya dimansuhkan Fasal 9.5 yang mewajibkan kuota pencalonan 30 peratus untuk presiden, 20 peratus timbalan presiden, 10 peratus naib presiden dan lima peratus ahli MT - daripada jumlah ahli parti.

Ia mencadangkan fasal tersebut supaya calon yang bertanding untuk memegang jawatan MT hendaklah menjadi ahli selama lima tahun dan dicalonkan oleh dua bahagian pada tarikh pendaftaran pencalonan yang akan ditetapkan oleh MT.

>>> Lihat Perlembagaan Umno

Syor penuh Umno Gua Musang:

“Bahawa Persidangan Perwakilan Khas Umno Bahagian Gua Musang yang diadakan pada hari ini (Jumaat, 4.4.2008) bersetuju membincang keputusan pilihanraya umum ke-12, Umno dan masa depan orang Melayu serta mengambil tindakan-tindakan segera membaiki keadaan sekarang ini termasuk meluluskan pindaan kepada Perlembagaan Umno seperti berikut:

FASAL 8 PERHIMPUNAN AGUNG

Diwujudkan satu Fasal baru 8.3.5 yang berbunyi: Memilih sebuah Jawatankuasa Pemilihan yang bebas, mengandungi 21 orang ahli yang tidak mempunyai sebarang kepentingan di dalam mana-mana jawatan dalam parti dan berkuasa memilih Pengerusi dan Timbalan Pengerusi mereka sendiri. Jawatankuasa juga berkuasa serta bertanggungjawab mengurus dan mengendali pencalonan-pencalonan dan pemilihan-pemilihan semua jawatan menurut kehendak Perlembagaan serta berkuasa menentukan cara-cara menjalankan kerja-kerjanya untuk menyempurnakan tanggungjawab ini.

FASAL 9 MAJLIS TERTINGGI

Fasal 9.2.7 dimansuhkan dan diganti dengan Fasal 9.2.7 yang berbunyi:

Tidak lebih daripada tiga puluh lima orang yang dipilih oleh ahli-ahli parti.

Fasal 9.3 dimansuh dan diganti dengan Fasal 9.3 yang berbunyi:

Presiden, Timbalan Presiden, tiga orang Naib Presiden dan tiga puluh lima orang ahli Majlis Tertinggi hendaklah dipilih oleh ahli-ahli parti tiap-tiap 3 tahun sekali.

Fasal 9.4 dimansuhkan dan diganti dengan Fasal 9.4 yang berbunyi:

ketua dan naib ketua Pemuda, Ketua dan Naib Ketua Wanita, Ketua dan Naib Ketua Puteri hendaklah dipilih oleh Ahli-Ahli Pemuda, Wanita dan Puteri tiap-tiap 3 tahun sekali. Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan etua Pergerakan Puteri mempunyai hak-hak dan kuasa-kuasa Naib Presiden.

Fasal 9.5 di-mansuh dan di-ganti dengan Fasal 9.5 yang berbunyi:

Calon yang bertanding untuk memegang jawatan Majlis Tertinggi hendaklah menjadi ahli selama lima tahun dan dicalonkan oleh dua bahagian pada tarikh pendaftaran pencalonan yang akan ditetapkan oleh Majlis Tertinggi.

Fasal 9.11 dimansuhkan dan diganti dengan Fasal 9.11 yang berbunyi:

Jika kesemua Ahli Majlis Tertinggi berhenti serentak, maka Pengerusi Tetap atau Timbalannya hendaklah dalam tempoh tidak lebih daripada enam puluh hari menetapkan tarikh pengundian oleh tiap-tiap ahli dan menetapkan tempoh perkhidmatan Majlis Tertinggi yang baru tertubuh itu.

FASAL 10 TANGGUNGJAWAB MAJLIS TERTINGGI

Diwujudkan satu Fasal baru 10.1A yang berbunyi: Menetapkan tarikh persidangan cawangan-cawangan untuk memilih Ahli-Ahli Majlis Tertinggi, Jawatankuasa Bahagian dan Jawatankuasa Cawangan dan menetapkan tarikh pendaftaran calon-calon.

Fasal 10.3 dimansuh (asal: Memilih calon-calon bagi Pilihanraya Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri setelah berunding dengan Badan Perhubungan bagi Negeri yang berkenaan dan Jawatankuasa Bahagian mengikut peraturan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi).

Fasal 10.14 dimansuhkan dan diganti dengan Fasal 10.14 yang berbunyi:

Menetapkan tarikh Perhimpunan Agung, Perwakilan Bahagian dan Persidangan Cawangan.

Fasal 12.5 dimansuhkan dan diganti dengan FASAL 12.5 yang berbunyi:

Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Perhubungan hendaklah dipilih oleh tiap-tiap anggota Jawatankuasa Bahagian dalam Negeri-negeri dan Wilayah Persekutuan berkenaan dan memegang jawatan masing-masing selama tempoh Majlis Tertinggi.

Fasal 14.5.1 dimansuh (asal: Memilih Ahli-ahli Jawatankuasa Bahagian tertakluk kepada Fasal 15.3).

Fasal 14.5.4 dimansuhkan (asal: Mencadangkan calon-calon untuk bertanding menjadi ahli Majlis Tertinggi).

FASAL 15 JAWATANKUASA BAHAGIAN

Fasal 15.1.7 dimansuhkan dan diganti dengan Fasal 15.1.7 yang berbunyi:

Tidak lebih daripada dua puluh (20) orang yang dipilih oleh Ahli-Ahli parti di dalam bahagian tersebut.

Fasal 15.5 dimansuhkan (asal: Calon-calon yang bertanding untuk memegang jawatan dalam Jawatankuasa Bahagian hendaklah dinamakan oleh sekurang-kurangnya: Ketua [20%], timbalan ketua [15%], naib [10%] dan ahli jawatankuasa [dua cawangan]).

Fasal 15.8 dimansuhkan dan digantikan dengan Fasal 15.8 yang berbunyi:

Jika semua Ahli-Ahli Jawatankuasa Bahagian berhenti serentak maka Majlis Tertinggi akan menetapkan satu tarikh pemilihan untuk menubuhkan semula Jawatankuasa Bahagian itu dan menentukan tempoh perkhidmatannya.

Fasal 15.13.1 dimansuh (asal: Mencadangkan calon-calon pilihan raya, wakil-wakil parti bagi menganggotai Majlis Bandar Raya, Perbandaran, Bandaran Tempatan dan Daerah).

FASAL 17 CAWANGAN

Fasal 17.5.4 dimansuhkan dan diganti dengan Fasal 17.5.4 yang berbunyi:

Memilih Ahli-Ahli Majlis Tertinggi, Jawatankuasa Bahagian dan Jawatankuasa Cawangan tiap-tiap tiga tahun sekali.

Fasal 17.5.7 dimansuhkan (asal: Mencadangkan calon-calon untuk bertanding menjadi ahli jawatankuasa bahagian).

Diwujudkan satu fasal baru 17.5.9 yang berbunyi:

Memilih calon bagi Pilihanraya Dewan Rakyat, calon bagi Pilihanraya Dewan Negeri, calon bagi anggota-angggota Majlis Bandaraya, Majlis Tempatan dan Daerah untuk Kawasan-kawasan berkenaan untuk Pilihanraya berikutnya.

FASAL 18 JAWATANKUASA CAWANGAN

Fasal 18.1.7 dimansuhkan dan diganti dengan Fasal 18.1.7 yang berbunyi:

Tidak lebih daripada lima belas (15) orang yang dipilih oleh Ahli-Ahli di dalam Persidangan Cawangan.

Diwujudkan satu fasal baru 18.12.12 yang berbunyi:

Mencadang kepada Persidangan Cawangan Calon Pilihanraya Dewan Rakyat, Calon Pilihanraya Dewan Negeri, Calon bagi anggota-anggota Majlis Bandaraya, Calon bagi Majlis Tempatan dan Daerah untuk kawasan-kawasan berkenaan daripada senarai ahli-ahli yang telah mendaftar keinginan sendiri untuk menjadi calon-calon berkenaan.

Dan, Usul Perhimpunan Agung Khas

Memohon Majlis Tertinggi mengadakan Perhimpunan Agung Khas pada 11 Mei 2008 atau pada mana-mana tarikh yang sesuai membincang usul ini secepat mungkin untuk menimbang semua perkara yang terkandung dalam usul ini.

No comments: