Friday, March 28, 2008

Ku Li boleh dapat cukup pencalonan

(Malaysiakini) - Bekas menteri kewangan Tengku Razaleigh Hamzah dijangka memperolehi jumlah pencalonan yang mencukupi untuk mencabar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi jawatan presiden Umno.

Ahli parlimen Gua Musang itu memerlukan 30 peratus iaitu 58 pencalonan daripada 193 bahagian Umno di seluruh negara.

Kemungkinan ini susulan hebatnya desakan para pemimpin di peringkat akar umbi supaya dipulihkan kekuatan Umno, sebagai parti terbesar orang Melayu yang menjadi tunggak utama kerajaan BN.

Sehubungan itu, mereka turut membantah cadangan supaya pemilihan parti ditangguhkan hingga tahun depan.

Berikutan itu, dalam mesyuaratnnya semalam, Majlis Tertinggi memutuskan pemilihan pucuk pimpinan Umno diadakan tahun ini juga pada 16 hingga 20 Disember depan.

Manakala pemilihan di peringkat cawangan akan bermula pada 17 Julai-24 Ogos, dan bahagian pada 9 Oktober-19 November.

Cipta sejarah

Malah presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri dapat merasainya.

Dalam sidang akhbarnya semalam, beliau mengakui: "Saya terpaksa menghadapinya... saya tidak boleh lari (daripada berdepan dengan cabaran)."

Ekoran itu, Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li dijangka bakal mencipta sejarah kali kedua mencabar penyandang jawatan tersebut.

Kali pertama Ku Li mencabar jawatan tersebut ialah pada 1987 apabila beliau menentang Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi tewas dengan 47 undi.

Ketika itu belum ada sistem kuota pencalonan - ia hanya diperkenalkan ketika penubuhan Umno baru pimpinan Dr Mahathir selepas Umno lama diharamkan pada 1988 akibat perpecahan besar dua kem, antara beliau dengan Ku Li.

Pada 2004, Ku Li gagal mendapat pencalonan yang mencukupi apabila bahagiannya sahaja mencalonkan beliau bertanding jawatan presiden.

Menurut sumber-sumber yang rapat dengan Umno, Ku Li dijangka mendapat pencalonan daripada bahagian-bahagian yang tidak berpuas hati terhadap Abdullah apabila pemimpin utama mereka tidak dipilih atau digugurkan dari senarai calon BN pada pilihanraya umum 8 Mac.

"Jumlah bahagian terbabit ramai... boleh dikatakan 40 peratus nama dalam calon yang dikemukakan oleh hampir semua Umno negeri, telah digugurkan dan digantikan dengan muka baru, yang sebahagiannya tidak ada pun jawatan di peringkat bahagian," kata sumber-sumber itu lagi.

Peluang cerah

Di samping itu, katanya, mereka juga beranggapan bahawa barisan pucuk pimpinan Umno sekarang tidak berkesan kerana mereka sibuk dengan jawatan yang disandang dalam kerajaan.

"Ekoran itu, ada bahagian-bahagian yang dijangka mengemukakan usul supaya pemegang jawatan tinggi dalam parti, tidak dilantik menganggotai kerajaan, supaya mereka dapat menumpukan kepada usaha memulihkan kekuatan Umno," katanya lagi.

Lagi pula, tegasnya, senario politik sekarang berbeza dengan 1987 dan ini mencerahkan harapan Ku Li untuk mendapat pencalonan yang mencukupi bagi bertanding jawatan presiden.

"Pada tahun 1987, wujud dua puak - Team A dan Team B. Kali ini tidak wujud puak seumpama itu tetapi rata-rata ahli dan pemimpin Umno, khususnya di peringkat akar umbi, sependapat bahawa Umno tidak sekuat dahulu kerana pucuk pimpinannya lemah.

"Maka tindakan drastik perlu diambil untuk memulihkan kekuatan Umno. Ini bermakna peluang Ku Li lebih cerah kali ini untuk mencipta sejarah menewaskan presiden Umno dalam pemilihan parti Disember ini," katanya

1 comment:

yiemega said...

saya akui UMNO memang memerlukan khidmat YBM Tengku Razaleigh Hamzah untuk merawat UMNO bagi sesiapa yang menyokong pandangan saya sila tandatangan petisyen sokongan kepada YBM Tengku Razaleigh Hamzah dengan melayari http://pandangankita.blogmas.com/2008/04/01/petisyen-sokongan-kepada-ybm-tengku-razaleigh-hamzah/