Friday, March 21, 2008

Kuli makin lantang - Agenda Daily 21 Mac

Tengku Razaleigh Hamzah nampaknya sudah set untuk berentap merebut jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu kali ini.

“Kalau sudah dua hari berturut-turut Ku Li konsisten cakap benda yang sama tak kan tak faham-faham lagi,”kata seorang yang dikenali rapat dengannya kepada Agendadaily Khamis.

Setelah menyuarakan secara terbuka hasratnya menawarkan diri untuk bertanding jawatan itu dalam sidang akhbar di Kota Bharu Rabu beliau melangkah setapak lagi sewaktu bercakap dengan para wartawan di Gua Musang dengan mempersoalkan apakah orang Melayu penakut nak buat perubahan demi kebaikan bangsa dan partinya sendiri.

Malah orang berkenaan mendakwa surat yang dikirim oleh Tengku Razaleigh kepada 26,000 ketua dan jawatankuasa bahagian UMNO serta ketua-ketua cawangan di seluruh negara pada 12 Mac mencadangkan diadakan Perhimpunan Agung Khas bagi membincangkan tsunami politik yang dihadapi Barisan Nasional dalam pilihanraya umum baru ini sudah boleh dikira sebagai pengumuman tawar diri.



Pada pemilihan tahun 2004 bekas Menteri Kewangan ini telah mengambil langkah ‘ langgar tembok’ menawarkan diri bertanding jawatan Presiden UMNO sekalipun ada ketetapan dari Majlis Tertinggi UMNO agar jawatan nombor satu parti itu tidak dicabar.

Akhirnya beliau terpaksa angkat bendera putih bila hanya dapat satu pencalonan sahaja iaitu dari UMNO Bahagian Gua Musang yang diketuainya sendiri.

Namun kali ini senarionya berbeza.Tengku Razaleigh tahu keputusan pilihanraya 8 Mac boleh dijadikan sandaran untuk mencuba nasib.

Halangan yang perlu dirempuhnya ialah kuota 30 peratus pencalonan dari 191 UMNO Bahagian di seluruh negara.Ini bermakna beliau harus mendapat lebih 50 pencalonan untuk melayakan diri.

Sebenarnya sejak sistem kuota pencalonan itu diperkenalkan tidak lama lepas pemilihan bersejarah tahun 1987 dimana Team B yang diketuainya Tengku Razaleigh cuba langgar Team A Tun Dr Mahathir Mohamad tembok kuota pencalonan itu belum pernah roboh.


Apakah seruan beliau bahawa kini sudah sampai masanya ahli UMNO memberanikan diri untuk membuat perubahan ke arah kebaikan terutama dalam keadaan yang mendesak sekarang boleh dapat sambutan diperingkat bahagian?



Kalau ikut cakap-cakap coffee house Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mesti ‘berpeluh’ kali ini.

Cita-cita Tengku Razaleigh untuk merebut jawatan Presiden UMNO memang tidak pernah padam sejak tewas ditangan Dr Mahathir pada tahun 1987.

“Kalau tidak mana mungkin Tengku Razaleigh berdegil hendak lawan juga Pak Lah pada tahun 2004 sedangkan ketika itu mood UMNO solid dibelakang Pak Lah,”kata seorang pemerhati.

Beliau juga tidak pernah menyembunyikan penentangannya terhadap sistem kuota pencalonan yang dinilainya tidak demokratik.

Baginya proses perubahan mesti berlaku.

Seperti yang dinyatakannya di Gua Musang , “ samalah kalau Mahathir tidak berhenti maka tiadalah penggantinya. Perubahan mesti berlaku kerana semua tidak kekal selamanya yang hidup akan mati. Itu adalah kitaran semulajadi, begitu juga dalam politik,’’ ujarnya.

Beliau juga mempertikaikan kebimbangan berlaku perpecahan dalam UMNO sekiranya berlaku pertandingan jawatan nombor satu parti.



“Kalau kita takut macam tu, tak payahlah ada pemilihan, kita pilihlah jawatan presiden seumur hidup, jawatankuasa bahagian dan cawangan pun sama juga, kalau takut berpecah.



“Lepas itu kita semua pakat-pakat doa supaya dia jangan sakit dan mati supaya dia dapat berkuasa seumur hidup. Orang Melayu ni penakutkah sekarang? Hadapilah cabaran,” katanya.- 21/3/2008

No comments: