Thursday, 20 March 2008
(Bernama) -- Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah berkata keputusan Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad meletak jawatan sebagai Setiausaha Agung Umno dan Barisan Nasional (BN) berkuatkuasa hari ini perlu dipandang serius terutama oleh pucuk pimpinan Umno.
Anggota Parlimen Gua Musang itu berkata, Radzi mempunyai hak untuk berbuat demikian disebabkan bekas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri itu berada dalam kedudukan "kurang senang".
"Itulah akibatnya kalau ada yang merasa kurang senang hati atas sesuatu sebab tetapi bagi saya ia mesti dipandang serius oleh semua pihak," katanya kepada pemberita di rumahnya di sini, hari ini.
Radzi ketika membuat pengumuman itu berkata beliau tidak dapat bekerja secara efektif sebagai Setiausaha Agung kerana tidak lagi berada dalam kabinet baru yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam.
Tengku Razaleigh berkata bahawa dalam senario politik sekarang perkara yang mengejutkan seperti itu boleh berlaku dan ia sebenarnya memburukkan lagi situasi.
Katanya sebab itu sesuatu perlu dilakukan seperti perbincangan antara pemimpin Umno dan peringkat akar umbi bagi mengelak timbulnya masalah lebih besar.
Mengulas senarai kabinet baru, Tengku Razaleigh berkata barisan kepimpinan itu perlu melakukan sesuatu untuk memulihkan kembali keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
"Sudah tentu ini tugas berat menteri dan timbalan menteri yang dilantik dan bagi saya mereka semua ini kena buat kerjalah dengan sebaik mungkin," katanya.
Beliau juga berkata pemilihan dua tokoh dari Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed dan Datuk Zaid Ibrahim, masing-masingnya sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri adalah tepat bagi membangunkan industri pertanian dan memulihkan imej sistem kehakiman negara.
"Kedua-dua pemimpin ini memang orang yang layak, dan sebagai rakyat Kelantan, saya gembira," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment