Thursday, March 20, 2008

Ku Li sedia gempur



Oleh Bernama
Khamis, 20 Mac 2008
Halaman 1 terhadap 2
TENGKU Razaleigh Hamzah hari ini berkata beliau sanggup menerajui Umno jika ia satu-satunya cara untuk memulihkan imej parti itu berikutan prestasi buruk pada pilihan raya umum 8 Mac lepas.

Pemimpin veteran Umno itu yang berdiam diri sejak kegagalan Barisan Nasional (BN) mengekalkan majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum, berkata jika mendapat sokongan semua peringkat parti, beliau bersedia bertanding jawatan Presiden Umno pada perhimpunan agung parti itu akan datang.

"Saya tidak keberatan untuk menggalas tanggungjawab sebesar itu jika mendapat sokongan padu bukan sahaja di peringkat akar umbi tetapi juga di peringkat pimpinan tertinggi parti.

"Jika ini boleh membantu memulihkan Umno, saya sedia menerima tanggungjawab. Terpulanglah kepada ahli Umno sendiri, saya sedia beri khidmat saya," katanya menjawab soalan pada sidang akhbar di rumahnya, di sini.

Beliau berkata kesanggupan itu adalah di atas sifat rasa tanggungjawab dan sayang kepada parti dan dalam soal ini bukan kepentingan individu menjadi keutamaannya. Umno akan mengadakan pemilihan pucuk pimpinan parti itu pada perhimpunan agungnya yang dijadualkan tahun ini tetapi tarikhnya belum ditetapkan.

Tengku Razaleigh berkata sebagai orang lama dalam parti, beliau merasa bertanggungjawab terhadap parti dan terpanggil untuk melakukan perubahan bagi memastikan Umno kekal relevan dalam arena politik negara.

Tengku Razaleigh, 71, yang juga merupakan Anggota Parlimen paling lama berkhidmat, mengekalkan kerusi Parlimen Gua Musang pada pilihan raya umum lalu dengan menewaskan Zulkefli Mohamad daripada PAS.

Menjawab soalan lain, beliau mengakui mengutus surat kepada semua ketua Umno bahagian seluruh negara bagi mendesak supaya diadakan satu perhimpunan agung khas sebelum persidangan agung Umno berlangsung.

"Sekarang ini Umno perlu kepada satu perjumpaan yang dihadiri semua peringkat bagi membincangkan hala tuju perjuangan Umno.

Jangan kita beretorik lagi, sekarang kita perlu duduk berbincang," katanya. Ditanya maklum balas mengenai surat itu, Tengku Razaleigh berkata beliau menerima isyarat positif daripada sebahagian besar ketua bahagian tetapi kecewa ada beberapa bahagian memberi alasan tidak menerima surat itu.

Beliau yang juga Ketua Umno bahagian Gua Musang berkata bahagian itu akan mengadakan mesyuarat agung khas bagi membuat usul supaya diadakan mesyuarat agung khas peringkat pusat.

"Cadangan saya ini bukan perkara main-main. Ini masa depan orang Melayu. Pilihan raya (8 Mac) itu tanda keresahan rakyat. Kehilangan dua pertiga suara dalam parlimen sesuatu yang sangat memeranjatkan," katanya.

BN memenangi 140 daripada 222 kerusi parlimen, iaitu kurang lapan kerusi untuk memperoleh majoriti dua pertiga.

Tengku Razaleigh berkata dalam keadaan sekarang mungkin ada pihak yang akan mengambil kesempatan melobi mana-mana anggota parlimen BN untuk melompat parti.

"Anggota parlimen BN, saya minta janganlah terperangkap dan lemah iman. Kita mesti pertahankan apa yang ada walaupun sedikit," katanya.

No comments: